Pemulihan akidah ahli GISBH menyeluruh, bukan hanya tajwid

Pemulihan akidah ahli GISBH menyeluruh, bukan hanya tajwid

Akidah GISBH
TANGKAP memaparkan hantaran tular yang mendakwa program pemulihan kepada bekas ahli GISBH hanya tertumpu kepada pembelajaran tajwid semata-mata. Ahmad Shahir Makhtar (gambar kecil).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyangkal dakwaan tular proses pemulihan bekas ahli Global Ikhwan Services and Business Holding Sdn. Bhd. (GISBH) hanya melibatkan pengajian tajwid semata-mata dan bukannya pemulihan akidah.

Setiausahanya, Dr. Ahmad Shahir Makhtar berkata, pihaknya menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Riqab pada 4 Februari lalu meluluskan Program Insan Rabbani selaras dengan fatwa Selangor.

“Program Insan Rabbani antara program MAIS yang memfokuskan pemulihan akidah kepada bekas ahli GISBH dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bermula pada 15 Februari sehingga Ogos ini.

“Ia meliputi 24 siri setiap Ahad di empat lokasi iaitu Sekolah Rendah Agama (SRA) Country Homes, Masjid Sultan Abdul Aziz Shah, SRA Sijangkang dan SRA Sungai Kantan, Kajang dengan 51 guru bertauliah terlibat,” katanya hari ini.

Jelasnya, pengisian program itu merujuk kepada Modul Istitabah yang diluluskan pada 2013 dengan memberi fokus kepada pengajian ilmu al-Quran, akidah, tasawuf dan fikah kepada bekas ahli GISBH.

“Bagi pengajian al-Quran, peserta belajar mendalami ilmu termasuk ilmu tajwid bagi memahami dan menambah baik bacaan kitab suci itu.

“Pengajian akidah pula merangkumi asas ilmu akidah dan pemahaman yang benar tentang sifat Allah serta Rasul manakala pengajian tasawuf meliputi penyucian hati dan sifat mahmudah,” ujarnya.

Tambah beliau, pengajian fikah meliputi solat dan perkara berkaitan berdasarkan mazhab Imam Syafie.

“Modul Pendidikan Insani JAIS bagi kanak-kanak bekas ahli GISBH pula bertujuan membentuk keperibadian dan mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh menerusi pengisian akidah, ibadah, dan akhlak.

“Justeru, isu tular di media sosial menyatakan proses pemulihan akidah bekas ahli GISBH hanya tertumpu kepada pengajian tajwid semata-mata adalah tidak berasas dan tidak tepat,” katanya.

Oleh demikian, Ahmad Shahir mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan fakta sebenar sebelum mengeluarkan kenyataan atau tohmahan terhadap MAIS bagi mengelak sebarang kekeliruan kepada umat Islam.

Utusan Malaysia pada Ahad lalu melaporkanMAIS meneruskan program pemulihan khas ke atas 2,474 bekas ahli GISBH sehingga Ogos depan menerusi program Insan Rabbani itu melibatkan seramai 1,064 individu dewasa dan 1,410 kanak-kanak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN