Pastikan pemilihan PKR penuh demokrasi, elak perpecahan

Pastikan pemilihan PKR penuh demokrasi, elak perpecahan

NIK NAZMI Nik Ahmad (dua dari kiri) melihat kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) melakukan ujian pelepasan asap dari sebuah van pada Operasi Penguatkuasaan Kenderaan Bermotor di Jalan Kuantan - Kemaman, Kemaman, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Semua ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu memastikan pemilihan pucuk pimpinan kali ini berlangsung secara demokrasi, bukan me­nimbulkan perpecahan dalam kalangan ahli parti.

Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pertembu­ngan antara Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Rafizi Ramli bagi merebut jawatan Timbalan Presi­den Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu dilihat sebagai persaingan sihat dalam sebuah ‘keluarga’.

“Inilah demokrasi yang perlu kita lalui dengan sihat. Kita berkempen dan bertanding secara sihat dan selepas keputusan itu, kita move on lah.

“Apa yang penting, apa jua yang kita buat ini, rakyat sedang memerhati dan ia akan memberi impak untuk pilihan raya nanti.

“Jadi, kita perlu buat yang terbaik untuk pastikan parti berada dalam keadaan terbaik menuju pilihan raya dan memastikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri,” katanya selepas menyertai Operasi Penguatkuasaan Kenderaan Bermotor di Jalan Kuantan-Kemaman di sini, semalam.

Beliau mengulas pemilihan PKR yang diadakan sempena Kongres PKR 2025 di Johor Bahru dari 22 hingga 25 Mei ini.

Nik Nazmi yang bertanding bagi mempertahan jawatan Naib Presiden yang disandangnya optimis dapat mengekalkan jawatan itu.

“Insya-Allah, saya yakin. Kalau saya rasa akan kalah, saya tidak akan bertanding. Kalau perwakilan memilih saya, maka saya akan kekal.

“Apa yang penting kita memilih dan bertanding secara sihat, tampilkan apa yang akan kita buat dan kita cuba amalkan politik yang positif dan matang,” katanya.

Kelmarin, Anwar yang juga Presiden PKR selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah di Kota Kinabalu menyifatkan Pemilihan PKR 2025 sebagai simbol kekuatan dan pertarungan antara rakan-rakan setia.

Katanya, kesemua calon yang bertanding perlu disantuni dengan baik supaya semangat persaudaraan dalam kalangan ahli parti kekal utuh.

“Pemilihan ini antara rakan-rakan setia, yang banyak (daripadanya) tokoh reformasi.

“Oleh itu, kita kena jaga supaya tidak terlanjur kerana kita mahukan pemilihan ini untuk kita rangkul sebagai satu kekuatan,” katanya kepada pemberita.

Anwar dalam pada itu turut menasihatkan setiap penyokong parti itu supaya tidak berlebih-lebihan dalam memberikan sokongan kepada individu yang bertanding kerana berisiko mengeruhkan keadaan.

“Semangat persaudaraan dalam PKR perlu diperkukuh. Selesai sahaja Kongres Nasional PKR, kita perlu bekerja sebagai satu pasukan yang padu,” katanya.

Sementara itu, calon Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang berkata, calon yang bertanding perlu menjadikan pertandingan dalaman parti itu sebagai medan memperkukuh solidariti, bukan gelanggang untuk menyerang peribadi atau mempersoalkan kesetiaan individu.

Katanya, pemilihan parti tidak sepatutnya disamakan dengan pilihan raya umum kerana akhirnya semua calon perlu bersatu kembali demi agenda perjuangan bersama.

“Jangan persoalkan kesetiaan kita dan ini mesej saya kepada kawan-kawan, sebaliknya ia merupakan pemilihan parti, bukan Pilihan Raya Umum (PRU).

“Nanti kamu lawan saya, serang saya, kata saya tak setia tetapi lepas pemilihan kita kena bekerjasama balik. Tidak boleh begitu. Kita perlu pertahankan budaya dan identiti parti,” katanya dalam Program Jelajah HIRUK di sini, semalam.

Katanya, nilai perjuangan parti seperti menegakkan prinsip keadilan, menolak rasuah dan menentang politik wang perlu terus disuburkan dalam kalangan ahli dan pemimpin.

“Kita perlu calon yang memahami dan mempertahankan budaya parti, lantaran parti ini lahir daripada perjuangan, justeru kita perlukan aktivis yang teruji serta faham erti reformasi,” katanya.

Tegasnya, kekuatan parti terletak pada kesatuan dan idealisme yang jelas, justeru pemilihan ini perlu menjadi titik tolak kepada persiapan menghadapi PRU akan datang dan memastikan Presiden PKR kembali sebagai Perdana Menteri untuk penggal kedua. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN