Pasangan ditahan cuba seludup anak monyet dalam seluar

Pasangan ditahan cuba seludup anak monyet dalam seluar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOGOTO: Sepasang kekasih ditahan pihak berkuasa selepas cuba menyeludup enam ekor anak monyet yang dibius, dengan menyembunyikannya di dalam seluar ketika melalui pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang José María Córdova, Colombia, Sabtu lalu.

Menurut laporan media tempatan, pasangan itu cuba membawa dua ekor monyet muka putih (cebus capucinus) dan empat ekor tamarin jambul kapas (saguinus oedipus) ke Republik Dominican.

Spesies tamarin jambul kapas tergolong dalam kategori hampir pupus, manakala kedua-dua spesies tersebut dilindungi di bawah undang-undang hidupan liar.

Malangnya, hanya empat ekor monyet berjaya diselamatkan dalam keadaan hidup, manakala dua lagi disahkan mati akibat penyeludupan kejam tersebut.

Rakaman video menunjukkan haiwan kecil itu ditemukan di dalam sebuah kotak selepas berjaya dikeluarkan oleh kakitangan lapangan terbang.

Pihak berkuasa belum dapat mengesahkan kewarganegaraan pasangan tersebut, namun mereka disahkan bukan warganegara Colombia.

Pemeriksaan mendapati kesemua anak monyet itu berusia kurang dua bulan dan telah dihantar ke Pusat Penilaian dan Penjagaan Hidupan Liar Cornare untuk rawatan lanjut.

Cornare, pihak berkuasa alam sekitar wilayah Antioquia Timur mengesahkan bahawa haiwan tersebut dibius dan menunjukkan tanda-tanda penderaan, penyeksaan, dehidrasi serta kekurangan zat makanan.

Kedua-dua warga asing itu telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara Colombia dan akan berdepan dakwaan atas kesalahan kekejaman terhadap haiwan, penyeludupan hidupan liar, serta eksploitasi haram sumber semula jadi.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN