KUALA SELANGOR: Parlimen Belia bakal menggunakan sistem agihan kerusi mengikut peratusan undi buat kali pertama di negara ini mulai tahun depan sebagai usaha memperkasa suara anak muda dengan memastikan tiada kelompok dipinggirkan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul berkata, sistem baharu itu menggantikan kaedah konvensional first past the post (majoriti mudah) yang diamalkan lebih 60 tahun dalam pilihan raya selama ini.
“Sistem itu kelak membolehkan tujuh parti politik ditubuhkan di kampus universiti dengan setiap parti sekurang-kurangnya mendapat sembilan peratus undi bagi kerusi ditandingi.
“Ia bagi menjamin suara kecil seperti wanita yang kini hanya 13 peratus di Parlimen supaya mendapat tempat sewajarnya,” katanya pada program sesi syarahan bersama mahasiswa Universiti Selangor (Unisel), hari ini.
Jelasnya, pendaftaran belia berusia 18 hingga 35 tahun bermula September depan diikuti pilihan raya pertama Parlimen Belia pada Januari tahun depan.
“Sebanyak 222 kerusi dipertandingkan secara dalam talian dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan agensi berkaitan. Bangunan khas untuk Parlimen Belia kini dalam peringkat akhir untuk digunakan sepenuhnya Disember depan,” ujarnya.
Tambah Johari, Parlimen Belia merupakan medan latihan sebenar bagi mencungkil bakat kepimpinan muda terutama di peringkat universiti.
“Pemimpin bukan dilahirkan secara semula jadi namun dibentuk menerusi pengalaman dan latihan berstruktur.
“Pelaksanaan Parlimen Belia diuruskan sepenuhnya di bawah Parlimen tanpa campur tangan kerajaan bagi memastikan generasi muda merasai pengalaman sistem demokrasi bebas, telus dan tidak dipengaruhi unsur politik,” ujarnya.
Dalam pada itu, kata Johari, Parlimen Malaysia turut menjalinkan kerjasama antarabangsa dengan mempelajari amalan terbaik daripada negara seperti United Kingdom, Australia dan New Zealand bagi memodenkan sistem sedia ada.
“Proses menaik taraf infrastruktur juga sedang dijalankan termasuk kemudahan fizikal seperti tempat letak kereta dan sistem IT (teknologi maklumat). Langkah itu bagi menjamin sistem yang lebih cekap sekali gus menyokong keperluan operasi moden,” katanya. – UTUSAN