KANGAR: Pengurus baharu pasukan Piala Presiden PDRM FC, Muhammad Aimanulhaq Zaharuddin,26, fokus membina struktur pasukan yang lebih teratur dan profesional bagi menghadapi saingan musim 2025/2026.
Beliau yang merupakan graduan Bachelor in Event Management Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan di peringkat akhir Master Sport Business Management di Sheffield Hallam University, United Kingdom (UK) itu berkata, selain itu, penekanan kepada pembangunan pemain muda akan diberikan agar pasukan mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
Muhammad Aimanulhaq yang berpengalaman menguruskan pasukan bola sepak e-sukan (eFootball & Mobile Legends) berkata, selain itu, beliau juga berhasrat untuk meningkatkan disiplin, identiti pasukan, serta mengekalkan prestasi konsisten sepanjang musim 2025/2026.
“Kita akan berusaha bagi memastikan pasukan terus konsisten menghadapi saingan,” katanya yang pernah mengetuai pasukan yang memenangi Grand Final Liga Profesional Mobile Legends (MPL Malaysia Musim Ke-10) itu.
Terdahulu, PDRM FC secara rasmi mengumumkan pelantikan Muhammad Aimanulhaq sebagai pengurus pasukan Piala Presiden PDRM FC bagi musim 2025/2026.
Hadir bagi menyaksikan sesi menandatangani kontrak pelantikan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PDRM FC, Asisten Superintenden Mohamad Hafiz Zainal Abidin dan Ketua Pegawai Operasi (COO) PDRM FC, Datuk Baharuddin Abu Bakar.
Tambahnya, beliau juga memiliki lesen kejurulatihan D dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta kelayakan Introduction to Football dari FA England.-UTUSAN