SAN FRANSISCO: Microsoft dilaporkan membuang ribuan pekerja, dalam usaha merombak struktur pengurusan dan memanfaatkan sepenuhnya potensi teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI).
Gergasi teknologi itu tidak mendedahkan jumlah pemberhentian, namun media Amerika Syarikat (AS) melaporkan kira-kira 6,000 kakitangan atau sekitar tiga peratus daripada jumlah tenaga kerjanya di seluruh dunia terkesan.
Antara yang terlibat adalah 1,985 pekerja di Washington, menurut dokumen yang difailkan di agensi buruh negeri itu.
“Kami akan terus melaksanakan perubahan organisasi yang perlu bagi memastikan syarikat berada di kedudukan terbaik untuk berjaya dalam pasaran yang sentiasa berubah,” kata jurucakap Microsoft dalam satu kenyataan di e-mel.
Syarikat itu, yang kini giat melaksanakan rancangan untuk mengintegrasikan AI ke dalam semua produknya, turut menyatakan ia sedang berusaha memberi kuasa kepada pekerja agar dapat menumpukan lebih banyak masa kepada tugasan bermakna dengan memanfaatkan teknologi dan keupayaan baharu.
Dua minggu lalu, Microsoft mencatat keputusan suku tahunan yang kukuh bagi tempoh Januari hingga Mac, didorong oleh prestasi mantap dalam perniagaan pengkomputeran awam dan kecerdasan buatan.
Syarikat yang menyambut ulang tahun ke-50, merupakan antara gergasi teknologi pertama yang menggandakan pelaburan dalam bidang AI, susulan pelancaran ChatGPT pada 2022 yang mencetuskan gelombang besar dalam industri teknologi.– AFP