IPOH: Parti MCA sukar menerima kerjasama dengan DAP walaupun berada dalam kerajaan yang sama.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, realitinya DAP yang selalu ‘mengusik’ MCA dengan terbaharu Ahli Parlimen Kampar daripada DAP, Chong Zhemin secara tiba-tiba mencadangkan MCA dibubarkan dan menyertai parti itu.
Sedangkan isu sebenar yang mahu diulas oleh Zhemin ialah cadangan UMNO dibubarkan dan menyertai Bersatu tetapi turut mengaitkan MCA dalam ulasannya.
“Hari ini realitinya yang selalu usik kami ialah DAP, jadi macam mana kami mahu menerima parti itu yang setiap masa mengusik. Saya kena pertahankan parti saya. Namakan kami, bila masa MCA usik DAP, tidak pernah, sebaliknya DAP yang selalu usik kita.
“Usik mengusik kalau membawa bahagia tidak apa, jangan usik-usik bawa gaduh. Dalam satu hubungan perlu mutual, tidak boleh bertepuk sebelah tangan. Saya tidak mengiktiraf DAP sebagai ‘abang long’ tetapi mereka mempunyai kerusi yang lebih, jadi tunjuklah sifat kepemimpinan dan keterbukaan dan keikhlasan mereka.
“Tunjuk keikhlasan, biar pemimpin atas buat keputusan. Tunjuk anda setuju kerjasama,” katanya dalam rancangan audio siar sebuah saluran berita kelmarin.
Choo Seong yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda BN berkata, semasa dalam BN, hubungan MCA dan Gerakan sangat tegang kerana ramai pemimpin parti itu daripada MCA.
Namun pemimpin MCA berjiwa besar menerima Gerakan demi kepentingan rakyat dan MCA tidak pernah mengusik Gerakan.
“Namun hari ini kita dalam Kerajaan Perpaduan ada sahaja kenyataan Ahli Parlimen Kampar mengusik pemimpin parti saya iaitu Presiden Sentiasa ada, sehinggakan di Parlimen ketika Presiden bercakap, Kampar akan usik.
“Siapa yang memulakan? yang menang banyak kerusi Parlimen ialah mereka, yang pegang kuasa ialah mereka sedangkan kami tidak ada apa-apa, jadi tak perlu usik kami pun, kita hanya buat kerja kita, kamu buat kerja kamu,” katanya.
Kelmarin, Zhemin mencadangkan MCA dibubarkan dan menyertai DAP.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencadangkan UMNO dibubarkan dan menyertai Bersatu.
Zhemin berkata, cadangan itu sebenarnya lebih sesuai ditujukan kepada MCA kerana MCA hanya tinggal dua kerusi Parlimen dan kedua-duanya terletak di kawasan majoriti pengundi Melayu. – UTUSAN