PUTRAJAYA: DAP mendesak satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan mafia korporat yang dikaitkan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo berkata, walaupun SPRM telah menafikan dakwaan tersebut sebagai tidak berasas namun penafian semata-mata tidak mencukupi.
“Tanpa langkah tambahan, ia tidak banyak membantu memulihkan keyakinan awam atau pelabur. Pendirian kami seperti dinyatakan oleh Setiausaha Agung Anthony Loke adalah jelas.
“Apabila integriti agensi pencegahan rasuah utama negara dipersoalkan, penafian yang dikeluarkan sendiri tanpa siasatan bebas tidak mencukupi dan tidak banyak membantu memulihkan keyakinan awam serta pelabur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Gobind berkata, dakwaan berkenaan adalah spesifik kerana menamakan individu, syarikat serta merujuk kes-kes tertentu, sekali gus memberi asas mencukupi untuk siasatan dimulakan.
“Apa yang diperlukan ialah siasatan yang bebas dan telus. Dakwaan yang dibangkitkan adalah spesifik. Ia menamakan individu, syarikat serta merujuk kes yang boleh dikenal pasti.
“Terdapat asas mencukupi untuk siasatan dimulakan dan pilihan terbaik ialah menubuhkan RCI kerana ia mempunyai kuasa statutori yang diperlukan untuk menjalankan siasatan yang betul dan bermakna terhadap perkara ini,” katanya.
Tegas Gobind, gesaan tersebut bukan bertujuan mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya untuk menegaskan bahawa SPRM kekal bebas daripada sebarang syak wasangka serta bersih daripada tuduhan yang menjejaskan integriti dan kredibilitinya.
“Sebaliknya untuk menegaskan bahawa SPRM kekal bebas daripada sebarang syak wasangka serta bersih daripada tuduhan yang menjejaskan integriti atau kredibilitinya.
“Ini juga bukan bertujuan melemahkan SPRM, sebaliknya untuk memperkukuhkannya serta menegaskan bahawa semua agensi yang diberi kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan di negara ini sentiasa tertakluk kepada siasatan dan kedaulatan undang-undang,” ujarnya. – UTUSAN










