GUA MUSANG: Penantian selama lapan tahun sepasang suami isteri untuk mendapatkan MyKad bagi anak lelaki mereka yang merupakan orang kurang upaya (OKU), berakhir.
Ia selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menghantar dokumen itu ke rumah mereka di Taman Agropolitan Rantau Manis, di sini.
Mohd. Zulkifly Mustafa, 43, berkata, dia dan isteri, Nor Hayati Mat Nor, 43, sebelum ini berdepan kesukaran membawa Muhammad Arif Farhan, 17, yang menghidap penyakit sawan ke pejabat JPN untuk proses permohonan MyKad.
Katanya, dia lega apabila akhirnya anak sulung daripada dua beradik itu mempunyai dokumen pengenalan diri hasil bantuan kakitangan JPN Gua Musang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani.
“Kami berdepan kesukaran membawa Muhammad Arif Farhan ke pejabat JPN kerana dia sangat agresif dan penyakit sawannya datang menyerang tiba-tiba,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Agropolitan Rantau Manis.
Mohd. Zulkifly berkata, Muhammad Arif Farhan mula diserang penyakit sawan ketika berusia tujuh tahun selepas mengalami demam panas.
Katanya, anaknya yang sebelum ini dilahirkan normal bertukar agresif selain sering mengalami kekejangan pada anggota badan.
“Saya dan isteri bergilir-gilir menjaganya kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku. Muhammad Arif Farhan juga hanya dapat tidur kira-kira satu jam sehari.
“Pada Ramadan lalu, kami melengkapkan dokumen yang diperlukan untuk membuat MyKad. Pemberian dokumen ini sekali gus memudahkan urusan untuk memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan membuka akaun bank anak,” katanya.
Sementara itu, ADUN Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri berkata, kesukaran keluarga berkenaan untuk mendapatkan MyKad dikesan hasil lawatannya ke rumah keluarga berkenaan pada Ramadan lalu.-UTUSAN.