EcoWorld rekod untung bersih tertinggi pada suku pertama 2026 - Utusan Malaysia

EcoWorld rekod untung bersih tertinggi pada suku pertama 2026

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Eco World Development Group Berhad (EcoWorld) memulakan tahun kewangan 2026 (FY2026) dengan prestasi luar biasa apabila mencatatkan rekod tertinggi bagi hasil dan keuntungan bersih pada suku pertama.

Bagi suku berakhir 31 Januari 2026 (1QFY2026), keuntungan bersih kumpulan melonjak kepada RM156.4 juta berbanding RM80.3 juta pada tempoh sama tahun sebelum.

Hasil suku tahunan syarikat turut meningkat lebih sekali ganda kepada RM1.35 bilion daripada RM539.6 juta, dipacu terutamanya oleh penyempurnaan jualan tanah industri kepada Microsoft Payments (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Pearl Computing Malaysia Sdn. Bhd.

Selain itu, projek-projek di wilayah selatan seperti Eco Botanic, Eco Spring dan Eco Business Park serta wilayah tengah merangkumi Eco Majestic dan Eco Sanctuary turut menjadi penyumbang utama kepada pendapatan syarikat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Chang Khim Wah berkata, pencapaian jualan yang memberangsangkan itu adalah bukti kepada pengukuhan penembusan pasaran merentasi semua tonggak perniagaan kumpulan.

“Sehingga akhir Februari 2026, kami merekodkan jualan sebanyak RM2.06 bilion bagi empat bulan pertama FY2026, sekali gus mencapai 52 peratus daripada sasaran jualan setahun penuh iaitu RM4 bilion.

“Kami juga sedang membuat persiapan untuk melancarkan dua projek baharu bagi meluaskan jangkauan pasaran, termasuk Eco Radiance di Semenyih, Selangor dan Eco Business Park 8 di Kulai, Johor,” katanya dalam kenyataan.

Selaras dengan prestasi kukuh tersebut, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak dua sen sesaham yang akan dibayar pada 13 April 2026.

Setakat 31 Januari 2026, kedudukan tunai kumpulan kekal teguh pada RM2.90 bilion, manakala nisbah gearan bersih bertambah baik kepada 0.17 kali. Prestasi jualan setakat ini turut meningkatkan hasil masa hadapan kumpulan kepada RM5.11 bilion.

Mengenai prospek, EcoWorld kekal optimis terhadap permintaan bagi projek-projeknya namun tetap berwaspada terhadap ketidaktentuan global termasuk krisis di Timur Tengah dan ketegangan tarif.

Syarikat akan terus mengamalkan langkah penjimatan kos dan disiplin kewangan yang ketat dalam semua operasinya bagi memastikan pertumbuhan mampan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN