Korea Utara tahan empat pegawai berkait insiden kapal perang

Korea Utara tahan empat pegawai berkait insiden kapal perang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PYONGYANG: Korea Utara menahan seorang lagi pegawai berhubung kegagalan pelancaran kapal perang minggu lalu, yang merosakkan kapal pemusnah tentera laut seberat 5,000 tan.

Pyongyang mengumumkan berlaku ‘kemalangan serius’ semasa upacara pelancaran pada 21 Mei lalu, yang menyebabkan bahagian bawah kapal rosak teruk.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, menyifatkan insiden itu sebagai tindakan jenayah akibat kecuaian mutlak.

Timbalan Pengarah Jabatan Industri Senjata Jawatankuasa Pusat Parti, Ri Hyong Son, dipanggil dan ditahan semalam, lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Menurut laporan tersebut, beliau bertanggungjawab terhadap kemalangan serius itu.

Hyong Son merupakan individu keempat yang dilaporkan ditahan berhubung insiden itu, selepas tiga individu lain, termasuk ketua jurutera limbungan, ditahan hujung minggu lalu.

“Di lokasi kemalangan pelancaran kapal, kerja bagi memulihkan sepenuhnya keseimbangan kapal perang tersebut sedang giat dijalankan,” lapor KCNA.

Tentera Korea Selatan pula berkata, pihak perisikan Washington dan Seoul menilai percubaan pelancaran oleh Utara gagal, dan kapal tersebut dibiarkan senget di dalam air.

Bagaimanapun, KCNA melaporkan, pemeriksaan bawah air dan dalaman terhadap kapal tersebut mengesahkan tiada lubang terbentuk di bahagian bawah kapal serta menyifatkan kerosakan sebagai tidak serius.

Tentera Korea Selatan menganggarkan berdasarkan saiz dan skalanya, kapal perang yang baharu dibina itu juga dilengkapi keupayaan setanding kapal pemusnah seberat 5,000 tan Choe Hyon, yang didedahkan Korea Utara pada April lalu.

Pyongyang mendakwa, Choe Hyon dilengkapi dengan senjata paling berkuasa dan akan beroperasi awal tahun depan.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN