‘Kini hanya orang tua, OKU sahaja naik teksi kami'

‘Kini hanya orang tua, OKU sahaja naik teksi kami’

ABDUL Rahman Abdul Gani (kanan) dan Tengku Anuar Tengku Rashid menunjukkan buku catatan perjalanan harian mereka yang semakin kosong ketika ditemui Utusan Malaysia di Kuala Pilah, semalam. – UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Sebelum wujudnya e-hailing, perkhidmatan teksi dan kereta sewa menjadi pilihan penduduk untuk ke destinasi tertentu.

Namun situasi berkenaan semakin berubah terutamanya di kawasan luar bandar apabila perkhidmatan teksi semakin kurang mendapat sambutan khususnya dalam kalangan generasi muda.

Tidak terkecuali situasi yang berlaku di Kuala Pilah dengan rata-rata pemandu teksi di sekitar daerah ini hanya mampu mengeluh kerana pendapatan mereka kini ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Seorang pemandu kereta sewa, Tengku Anuar Tengku Rashid, 67, berkata, dahulu, pelajar sekolah dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) menjadi antara pelanggan tetap perkhidmatan mereka namun keadaan berubah sepenuhnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Dahulu ramai pelajar sekolah dan IPT yang guna perkhidmatan kami jika mahu ke mana-mana, tetapi sekarang kami hanya bergantung kepada orang tua dan OKU yang mahu hospital atau ke pasar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemandu-Pemandu Teksi dan Tuan Punya Kereta Sewa Kuala Pilah, Abdul Rahman Abdul Gani, 81, berkata, situasi yang dialami pemandu teksi itu boleh dibuktikan dengan catatan di buku harian mereka.

“Kalau dahulu, buku catatan kami penuh, pagi, tengah hari, petang sentiasa ada penum­pang. Sekarang ini, kadang-kadang hanya empat trip (perjalanan) sehari, kadang-kadang tiada langsung,” katanya.

Dia dalam pada itu mendakwa, keadaan yang dialami pemandu teksi itu juga berpunca daripada kehadiran perkhidmatan e-hailing yang tidak berdaftar dan pengusaha bas sekolah yang menawarkan perkhidmatan di luar skop termasuk membawa pelajar matrikulasi dan kolej kejururawatan outing (keluar asrama hujung minggu)

“Kami bukannya menolak persaingan, tetapi apabila pihak lain beroperasi tanpa le­sen, sedangkan kami patuh pada peraturan, itu yang me­ngecewakan,” katanya.

Katanya lagi, pihak persatuan sudah beberapa kali mengemukakan aduan serta laporan kepada pihak berwajib berhubung isu berkenaan namun sehingga kini masih tiada sebarang tindakan diambil.

“Kami tiada tempat me­ngadu. Bila buat laporan, tiada maklum balas. Ia seolah-olah kami ini dianaktirikan sedang­kan kami berlesen dan patuh kepada semua peraturan yang ditetapkan,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×