KUALA LUMPUR: Negara ASEAN kini berdepan landskap serantau dan global yang semakin kompleks dengan dibentuk persaingan geopolitik, ketidaktentuan ekonomi serta cabaran rentas negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, lebih membimbangkan, ASEAN turut berhadapan ancaman keselamatan yang semakin meningkat termasuk peningkatan jenayah siber seperti penipuan dalam talian dan penipuan tawaran pekerjaan.
Katanya, ramai rakyat negara ASEAN menjadi mangsa kepada skim penipuan dan telah diperdagangkan untuk bekerja sebagai buruh paksa di tempat operasi penipuan.
“Mereka kehilangan kebebasan, maruah dan simpanan hidup mereka. Operasi haram dalam talian yang berleluasa memberi kesan negatif terhadap ekonomi Negara-Negara Anggota ASEAN,” katanya dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Majlis Komuniti Politik- Keselamatan (APSC) Ke-29 semalam.
Mesyuarat berkenaan membincangkan perkembangan terkini Badan Sektoral di bawah tonggak APSC disamping meneliti kemajuan pelaksanaan Pelan Induk Politik-Keselamatan APSC 2025 serta persiapan untuk Kajian Akhir Penggal pelan berkenaan.
Mohamad berkata, ASEAN telah meningkatkan usaha untuk membendung ancaman jenayah siber dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Namun katanya, sindiket jenayah berkenaan masih mampu untuk berpindah dan membina semula operasi mereka dengan mudah.-UTUSAN.










