SABAK BERNAM: Projek pembinaan Jambatan Sungai Air Tawar-Hutan Melintang di sini, yang berdepan beberapa isu kelewatan dijangka kekal disiapkan tahun depan.
Kelewatan sebelum ini antaranya melibatkan proses pengambilalihan tanah di Perak dan insiden rebakan tanah di jeti nelayan berdekatan kawasan itu, September tahun lalu.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, pemerhatian mendapati projek pembinaan jambatan sepanjang 2.8 kilometer (km) itu berjalan lancar dan baik setakat ini.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar itu, proses pembinaan sedang giat dijalankan termasuk melibatkan struktur tiang jambatan.
“Menjelang hujung tahun ini, tiang itu mungkin akan siap dibina sehingga ke kawasan Hutan Melintang. Saya yakin projek ini akan dapat disiapkan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengikut jadual ditetapkan pada tahun depan,” katanya ketika ditemui pada program sumbangan kepada masjid, surau dan Back To School Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar di sini baru-baru ini.
Tambah Rizam, pihaknya telah mencadangkan satu lokasi baharu susulan kejadian rebakan tanah di sebuah jeti nelayan berdekatan jambatan itu.
“Kami memberi cadangan mengenai lokasi itu kepada persatuan nelayan di kawasan berkenaan. Mereka kemudian bersetuju dan berpindah ke lokasi itu buat sementara waktu,” ujarnya.
Utusan Malaysia pada 5 Jun tahun lalu melaporkan jambatan menghubungkan Sungai Air Tawar ke Hutan Melintang, Perak itu dijadualkan siap sepenuhnya pada Jun 2026.
Namun, projek itu dijangka mengalami sedikit kelewatan berikutan berlalu rebakan tebing di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Dato’ Hormat di sini, sekitar September tahun lalu.-UTUSAN.










