Hannah Yeoh menang saman fitnah

Hannah Yeoh menang saman fitnah

HANNAH Yeoh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff diperintah membayar ganti rugi RM400,000 kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berhubung dua hantaran fitnah dalam laman sosial Facebook, lapan tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aliza Sulaiman memutuskan demikian semalam selepas membenarkan saman yang dikemukakan Hannah terhadap Kamarul Zaman selain mendapati Ahli Parlimen Segambut itu berjaya membuktikan kesnya.

Berdasarkan saman yang difailkan pada 2022, Hannah selaku plaintif berkata, Kamarul Zaman memuat naik dua hantaran Facebook antara 10 Mei dan 17 Mei 2017, iaitu beliau mendakwa bahawa plaintif mempunyai motif untuk menyebarkan Kristian menerusi politiknya.

Pensyarah itu turut memetik biografi Hannah “Becoming Hannah: A Personal Journey” bagi memacu agenda Kristian dan turut mendakwa beliau berniat untuk mengubah Malaysia menjadi negara Kristian.

Dalam kenyataan pembelaannya, Kamarul Zaman berkata, kedua-dua hantaran Facebooknya tidak berunsur fitnah dan mempunyai alasan yang kuat.

“Sebagai seorang pensyarah dan seorang Muslim, saya mempunyai tanggungjawab untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai kandungan buku itu memandangkan saya bimbang mereka mungkin terpengaruh dengan Kristian dan sebagai seorang penganalisis politik, saya mempunyai hak untuk mengulas mengenai isu politik di Malaysia,” katanya.

Sementara Hannah Yeoh dalam keterangannya semasa perbicaraan memberitahu, bukunya bertajuk `Becoming Hannah: A Personal Journey’ diulang cetak sebanyak 18 kali dan tidak pernah diharamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menurut Hannah, buku itu merupakan autobiografi tentang kehidupannya termasuk pengalaman peribadi dan penglibatan dalam politik.

“Tiada bukti bahawa mana-mana orang Islam telah terpesong akidah dengan membaca buku berkenaan dan perkara itu telah disahkan oleh pemimpin Islam di negara ini,” katanya.

Beliau juga menegaskan, hantaran-hantaran Facebook Kamarul Zaman antara 10 Mei dan 17 Mei 2017 jelas berniat untuk menyinggung perasaan, menghina dan memfitnahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×