JAKARTA: Sekurang-kurangnya enam maut, manakala lebih 12 lagi hilang akibat banjir dan tanah runtuh berhampiran lombong emas di kawasan pedalaman timur Indonesia.
Ketua agensi mencari dan menyelamat tempatan, Yefri Sabaruddin berkata, hujan lebat berterusan selama beberapa jam pada Jumaat, mencetuskan tanah runtuh serta banjir di wilayah Papua Barat.
“Data terkini menunjukkan… enam orang disahkan maut dan 14 orang masih dalam pencarian,” katanya.
Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Abdul Muhari berkata, banjir melanda sebuah kem yang digunakan oleh pelombong.
“Banjir dari hulu melanda kawasan penempatan sementara pelombong emas tradisional sekitar pukul 9 malam, menghanyutkan khemah serta peralatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, empat mangsa cedera dan menerima rawatan awal daripada penduduk setempat, namun tiada kerosakan lain dilaporkan setakat ini.
“Sehingga kini, tiada kehilangan fizikal atau material dikenal pasti. Selain itu, tiada penduduk yang dipindahkan akibat kejadian,” kata Abdul.
Lombong tidak berlesen adalah perkara biasa di seluruh kepulauan Asia Tenggara yang kaya dengan mineral, di mana kawasan lombong terbiar sering menjadi tumpuan penduduk tempatan yang mencari sisa bijih emas tanpa peralatan keselamatan sesuai.
Tiada pengesahan rasmi mengenai status sah lombong tersebut, namun Yefri menjelaskan keutamaan pasukan penyelamat kini adalah untuk memindahkan mangsa.
“Keadaan di sana sangat mencabar kerana beberapa jalan rosak… jadi kenderaan perlu berhati-hati semasa melalui kawasan itu,” katanya.
Indonesia sering mengalami tanah runtuh ketika musim hujan, yang biasanya berlaku antara November hingga April.
September lalu, 13 terbunuh dan 12 lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh di sebuah lombong emas haram di Sumatera Barat.
Manakala pada Julai, sekurang-kurangnya 27 maut akibat tanah runtuh berhampiran lombong emas haram di pulau Sulawesi.- AFP










