MARANG: Bermula sekadar membantu keluarga ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa tahun lalu, seorang jurutera perisian dari Kampung Gong Nangka, di sini, kini bergelar pengusaha tanaman cendawan tiram.
Che Amir Khairi Che Rosely, 29, berkata, pada awalnya dia pulang ke kampung dan bekerja dari rumah sepanjang tempoh PKP itu sebelum bertekad berhenti kerja di pada akhir 2020 untuk mengusahakan tanaman berkenaan sepenuh masa.
Katanya, tanaman itu asalnya diusahakan oleh bapanya, Che Rosely Che Mohd. Nor kira-kira lapan tahun lalu.
“Saya pula sekadar membantu apabila cuti balik kampung. Sepanjang tempoh bekerja dari rumah ketika PKP, lebih banyak masa saya dapat luangkan untuk uruskan cendawan tiram ini sehinggalah timbul rasa minat.
“Saya buat keputusan tinggalkan kerjaya makan gaji untuk terus berada di kampung demi memberi tumpuan terhadap tanaman cendawan,” katanya ketika ditemui.
Katanya, dia kini mempunyai empat buah rumah cendawan yang mampu memuatkan sehingga 30,000 bongkah pada satu-satu masa.
“Hasil cendawan dapat dituai antara 10 hingga 30 kilogram sehari. Selain mendapat permintaan setempat, cendawan tiram turut dihantar ke kawasan sekitar malah sehingga ke Kuala Terengganu.
“Namun pendapatan setiap bulan pula tidak menentu, ada ketikanya boleh dapat RM4,000 sebulan. Permintaan cendawan di Terengganu begitu tinggi, persaingan ketika ini juga masih kurang,” ujarnya.-UTUSAN.