Doktor didenda RM33,152 muat naik komen hina Islam

Doktor didenda RM33,152 muat naik komen hina Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Seorang doktor di Singapura didenda S$10,000 (RM33,152) kerana memuat naik komen yang menyinggung perasaan umat Islam dalam hantaran di media sosial.

Kho Kwang Po, 85, merupakan pengamal perubatan berdaftar yang sijilnya tamat tempoh pada 31 Disember 2020, menurut Majlis Perubatan Singapura.

Dua laporan polis dibuat terhadapnya pada Jun 2021, oleh individu tidak dikenali yang mendakwa Kho membuat kenyataan berbaur perkauman di Facebook yang menghina Islam.

Seorang lagi individu melaporkan, Kho memuat naik kandungan berunsur hasutan yang memburukkan Islam di Facebook selama bertahun-tahun.

Kho, satu-satunya individu yang mempunyai akses ke akaun tersebut, pertama kali memuat naik hantaran itu pada 21 April 2016.

Namun, beliau menyiarkan semula kandungan yang sama pada 21 April 2021, walaupun diberi amaran bersyarat berhubung hantaran asal.

Hantarannya boleh dilihat oleh orang ramai, dan Kho berniat untuk orang ramai melihatnya, kata Timbalan Pendakwa Raya, Sean Teh kepada mahkamah pada Isnin.

Pihak pendakwa menggesa mahkamah agar mendenda Kho S$10,000, sambil berhujah beliau memuat naik hantaran tersebut dengan pertimbangan tertentu.

Teh berkata, kesalahan itu biasanya membawa hukuman penjara, tetapi pihak pendakwa mengambil kira beberapa faktor seperti usia, pengakuan bersalah atas tuduhan berniat menyinggung umat Islam dan hantaran tersebut tidak mendapat banyak perhatian.

Peguam Kho, Kenneth Au-Yong dan Josiah Tan, berkata anak guam mereka memohon maaf atas kesilapannya.

“Beliau tidak mungkin mengulangi kesalahan ini, dan seperti yang dikatakan oleh (pendakwa), beliau telah menunjukkan penyesalan dan membuat pengakuan bersalah,” kata Au Yong.– CNA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN