GEORGIA: Delta Air Lines boleh meneruskan saman terhadap firma keselamatan siber, CrowdStrike, selepas gangguan global pada Julai menyebabkan pembatalan 7,000 penerbangan.
Dalam keputusan bertarikh 16 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi Fulton County, Kelly Lee Ellerbe memutuskan Delta boleh cuba membuktikan Crowdstrike cuai secara serius apabila menghantar kemas kini perisian yang rosak.
Katanya, firma itu menghantar kemas kini Falcon yang tidak teruji kepada pelanggannya, menyebabkan lebih lapan juta komputer berasaskan Microsoft Windows mengalami kegagalan sistem di seluruh dunia.
“Delta secara khusus menyatakan bahawa jika CrowdStrike menguji kemas kini Julai pada satu komputer sebelum penggunaannya, ralat pengaturcaraan itu pasti dapat dikesan.
“Seperti yang diakui oleh CrowdStrike sendiri, presidennya sendiri secara terbuka menyatakan mereka melakukan sesuatu yang salah,” kata hakim mahkamah negeri Georgia itu.
Hakim yang berpangkalan di Atlanta juga membenarkan Delta meneruskan tuntutan berkaitan pencerobohan komputer serta tuduhan berkaitan janji palsu CrowdStrike tidak akan memasukkan ‘pintu belakang tidak sah’ ke dalam sistem komputer syarikat penerbangan itu.
Dalam kenyataan kelmarin, peguam CrowdStrike, Michael Carlinsky yakin hakim akan mendapati kes Delta tidak mempunyai asas atau mengehadkan ganti rugi kepada berjuta-juta dolar di bawah undang-undang Georgia.
Delta memfailkan saman terhadap firma keselamatan siber yang berpangkalan di Austin, Texas, tiga bulan selepas insiden pada 19 Julai 2024, yang menjejaskan perjalanan 1.4 juta penumpangnya.
Menurut Delta, gangguan itu menyebabkan kerugian sebanyak AS$550 juta (RM2.3 billion) dari segi pendapatan yang hilang dan kos tambahan walaupun sebahagiannya diimbangi dengan penjimatan bahan api sebanyak AS$50 juta (RM214 juta).- AGENSI










