BANGKOK: Pelancong yang merancang untuk ke Bangkok dan destinasi popular lain di Thailand dinasihatkan supaya berwaspada terhadap risiko penipuan.
Laporan baharu daripada Institut Ekonomi Mastercard mendedahkan ibu negara itu merupakan antara bandar yang berisiko untuk pelancong menjadi mangsa penipuan.
Laporan itu, yang turut mendapat liputan meluas oleh CNBC, menekankan industri pelancongan adalah antara sektor paling terdedah kepada aktiviti penipuan, dengan peningkatan ketara terutama semasa musim kemuncak percutian.
Kajian itu turut mendedahkan, penipuan dalam agensi pelancongan dan tempahan lawatan adalah lebih daripada empat kali ganda berbanding purata dalam industri lain.
Trend membimbangkan itu semakin buruk apabila kadar penipuan yang dilaporkan meningkat lebih 18 peratus di destinasi pelancongan popular semasa musim panas, dan melonjak sehingga 28 peratus di destinasi musim sejuk.
Di Bangkok, perkhidmatan teksi dan sewa kereta dikenal pasti sebagai antara punca utama penipuan terhadap pelancong, menurut laporan tersebut.
Masalah melibatkan teksi dan kereta sewa menyumbang kepada 48 peratus daripada jumlah kes penipuan yang dilaporkan di bandar itu.
“Selepas bayaran dibuat, lawatan mungkin tidak pernah berlaku atau langsung tidak seperti yang diiklankan,” menurut laporan itu, menonjolkan modus operandi biasa.
Laporan tersebut turut menyebut bahawa Phuket dan Antalya di Turkiye mencatatkan lebih banyak aktiviti penipuan berkaitan tempahan hotel.
Data daripada Mastercard menunjukkan kadar penipuan paling rendah dilaporkan oleh pelancong di San Fransisco, Dublin, Seoul, Budapest dan Edinburgh.
Manakala, bandar yang mencatatkan kadar penipuan tinggi termasuk Cancun, Hanoi, Dhaka dan paling ketara, Bangkok.– ASIA NEWS NETWORK










