ASEAN perlu teguh, saling menghormati – Agong

ASEAN perlu teguh, saling menghormati – Agong

SULTAN Ibrahim berkenan bergambar bersama pemimpin tertinggi ASEAN, negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), China dan Timor-Leste sempena Majlis Santapan Diraja di Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam. – FACEBOOK/SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menzahirkan harapan agar ASEAN dan rakan-rakan strategiknya terus berdiri teguh dalam semangat perpaduan dan saling menghormati, demi membina masa depan yang inklusif, berdaya tahan dan berpandangan jauh.

“Sidang kemuncak kali ini berlangsung dalam suasana cabaran dan kompleksiti global yang ketara. Malaysia amat berbesar hati menjadi tuan rumah kepada sidang-sidang kemuncak yang penting ini.

“Ia mencerminkan komitmen bersama untuk memajukan keamanan, kemakmuran dan perkongsian strategik di rantau ini dan seterusnya,” titah baginda sempena Majlis Santapan Diraja di Istana Negara sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China.

Sultan Ibrahim turut menzahirkan harapan agar kehadiran para pemimpin ke Kuala Lumpur akan memperkukuh ikatan persahabatan dan kerjasama yang menjadi tonggak kekuatan ASEAN dan rakan dialognya.

Turut hadir ke majlis santapan penuh istiadat itu ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pemimpin-pemimpin tertinggi ASEAN, negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), China dan Timor-Leste.

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 berlangsung dua hari bermula kelmarin di ibu negara, diikuti Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 dan ASEAN-GCC-China yang masing-ma­sing membincangkan hala tuju strategik rantau dan kerjasama pelbagai dimensi antara negara anggota.

Majlis Santapan Diraja di Dewan Seri Maharaja, Istana Negara itu turut menjadi simbol keakraban diplomatik dan kepercayaan yang tinggi antara negara-negara yang hadir serta mencerminkan peranan aktif Malaysia dalam menyokong perpaduan serantau.

Terdahulu, baginda berkenan menyambut ketibaan setiap pemimpin negara ASEAN, sebelum menyampaikan Titah Diraja semasa majlis menghadap di Dewan Seri Mahkota. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×