WASHINGTON: Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS) Amerika Syarikat (AS) mengumumkan penamatan geran persekutuan bernilai AS$60 juta (RM257 juta) kepada Universiti Harvard kerana gagal menangani gangguan antisemitik dan diskriminasi etnik di kampus.
Pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, turut membekukan atau menamatkan geran dan kontrak persekutuan untuk universiti tersebut yang bernilai hampir AS$3 bilion dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Sejak memegang jawatan pada Januari, presiden dari parti Republikan itu berusaha menggunakan dana penyelidikan persekutuan untuk merombak dunia akademik AS, yang menurutnya dikuasai oleh ideologi anti-Amerika, Marxis dan radikal kiri.
Pentadbiran Trump menuduh Universiti Harvard masih mengambil kira etnik dalam proses pemilihan pelajar dan membiarkan diskriminasi terhadap orang Yahudi akibat gerakan protes pro-Palestin yang menggemparkan kampus AS tahun lalu.
Universiti Columbia di New York turut menjadi sasaran atas dakwaan antisemitisme.
“Disebabkan kegagalan berterusan Universiti Harvard untuk menangani gangguan antisemitik dan diskriminasi kaum, HHS menamatkan beberapa geran berbilang tahun… sepanjang tempoh penganugerahannya,” kata jabatan itu dalam hantaran di X, kelmarin.
Institusi yang berpangkalan di Cambridge, Massachusetts sebelum ini menyatakan bahawa ia tidak dapat menanggung sepenuhnya kos geran yang dibekukan dan sedang bekerjasama dengan penyelidik untuk membantu mereka mendapatkan pembiayaan alternatif.
Harvard juga memfailkan saman terhadap pentadbiran Trump berhubung keputusan memotong geran tersebut.
Mei lalu, universiti itu menyelesaikan saman berprofil tinggi oleh seorang pelajar Yahudi Ortodoks yang mendakwa Harvard mengabaikan isu antisemitisme di kampus.- AGENSI










