KANGAR: Pertubuhan Abata Sukan Rekreasi (Abata) mengambil inisiatif menyampaikan sumbangan berupa peralatan angkat berat berjumlah RM49,000 dalam usaha bagi memperkasakan sukan itu di peringkat akar umbi.
Sumbangan yang disampaikan secara dua peringkat itu diserahkan oleh Penaung Abata, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya kepada Persatuan Angkat Berat Negeri melalui Presidennya, Mohd. Faiz Musa.
Fathul Bari berkata, sumbangan berkenaan adalah merupakan usaha bagi pembangunan sukan itu yang merupakan prospek pingat emas buat negeri ini.
“Sumbangan ini adalah hasil daripada betapa caknanya kita terhadap pembangunan sukan angkat berat ini yang tersenarai dalam Road To Goal (RTG) buat negeri ini,” katanya selepas Sirkit Bakat Kebangsaan Sukan Angkat Berat 1/2025 di Dewan Pertubuhan Anak Yatim Mak Teh, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fathul Bari berkata, setiap pihak mahukan anak-anak negeri ini membawa pingat emas dalam mana-mana kejohanan namun mereka seharusnya rasional dan mensasarkan sukan yang benar-benar memberi pulangan hasil.
Katanya, sukan angkat berat telah membuktikan hasil dalam beberapa kejohanan sebelum ini malah pembangunan atletnya juga bermula dari akar umbi.
“Saya tertarik dengan model dilaksanakan oleh Persatuan Angkat Berat negeri yang mencari anak-anak kampung dan mereka terdiri dari pelbagai latar belakang untuk dilatih mewakili negeri.
“Sebab itu saya ambil serius perkara ini dan bantu menyalurkan sumbangan peralatan ini demi masa depan atlet kita, dan bukan melibatkan politik,” katanya.
Mengulas mengenai program berkenaan, Fathul Bari berkata, sirkit itu mendapat penyertaan seramai 250 atlet dari seluruh negara dan berlangsung bermula Rabu lalu sehingga esok.
Katanya, sirkit itu juga merupakan salah satu usaha pembangunan atlet di peringkat akar umbi yang dilihat dapat memberi pulangan hasil buat negeri dan negara pada masa hadapan.
“Sirkit ini adalah peringkat kebangsaan dan atlet terlibat membabitkan usia bawah 17 tahun,” katanya.-UTUSAN