32 projek tebatan banjir akan dilaksana di Klang

32 projek tebatan banjir akan dilaksana di Klang

Tebatan banjir Klang
PROJEK tebatan banjir sedang giat dilaksanakan di bawah MBDK dekat Sungai Kandis, di Klang, Selangor. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kerajaan Selangor melaksanakan 32 projek rancangan tebatan banjir (RTB) berjumlah RM47.55 juta yang dijangka siap seawal Oktober tahun ini bagi menyelesaikan masalah limpahan air dekat 13 kawasan panas di Klang.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim berkata, bagi pelan jangka pendek ia meliputi kawasan di Kampung Johan Setia, Taman Teluk Pulai dan Kampung Bukit Kapar yang berjumlah RM3.35 juta.

Menurutnya, sementara bagi jangka sederhana serta panjang pula meliputi 10 dan lima projek masing-masing berjumlah RM8 juta dan RM36 juta.

“Langkah jangka pendek diambil seperti menaik taraf longkang, membaiki pintu kunci air, membina parit baharu dan sebagainya.

“Semua projek ini akan diuruskan oleh Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Selangor,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat kemajuan infrastruktur bagi kawasan seliaan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) (Banjir/Jalan dan Cerun), semalam.

Jelasnya, keputusan mesyuarat tersebut akan dibentangkan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dua minggu lagi bagi mendapatkan kelulusan daripada kerajaan negeri.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Kerajaan Selangor melaksanakan projek RTB bernilai RM4 bilion bagi mengatasi masalah limpahan air sungai termasuk di Klang dan Shah Alam dalam tempoh dua hingga empat tahun bagi pelan jangka pendek serta panjang.

Ia merupakan tambahan perbelanjaan daripada peruntukan sebanyak RM22.57 bilion diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bagi keseluruhan projek RTB negeri ini yang dijangka siap sepenuhnya pada 2030.

Tambah Izham, beliau akan membuat tinjauan bagi projek sama di Shah Alam dan mempengerusikan mesyuarat berkaitan masalah tersebut untuk menyelaras semula ke semua projek RTB di kawasan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN