PETALING JAYA: Pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan bagi menyelesaikan segera isu banjir dan bekalan air di Sarawak demi kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia dibincangkan dalam pertemuannya bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai sebahagian siri pertemuan dengan kerajaan negeri di seluruh negara.
Katanya, pembangunan mampan perlu bermula dengan kesediaan untuk mendengar secara teliti keperluan serta aspirasi setiap negeri.
“Dalam mesyuarat tersebut, kami meneliti pelbagai perkara yang menyentuh kepentingan rakyat Sarawak termasuk agenda pembangunan, pemerkasaan ekonomi negeri serta usaha memperkukuh kerjasama antara Persekutuan dan negeri.
“Saya turut diberi taklimat berkenaan keperluan menyelesaikan masalah banjir dan bekalan air di Sarawak,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Pada Selasa lalu, banjir melanda beberapa kawasan di Sarawak termasuk Kuching dan Lundu, susulan hujan lebat.
Situasi itu membabitkan beberapa lokasi antaranya Kampung Sebat Melayu, Kampung Segong dan Kampung Sileng Melayu.
Perdana Menteri berkata, Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) diarah untuk meneliti pendekatan menyeluruh bagi menyelesaikan kedua-dua isu.
Katanya, kebanyakan projek berkaitan telah mempunyai peruntukan dan pelaksanaannya perlu disegerakan.
“Justeru, ia menjadi bukti bahawa dialog terbuka sebegini amat penting sebagai wahana untuk memperkemas serta mencakup keperluan masyarakat di negeri-negeri, ketimbang sekadar memenuhi syarat birokratik semata-mata,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, beberapa pemimpin negara Teluk, selain Iran dan Turkiye menghubungi Malaysia bagi bertukar pandangan mengenai perkembangan konflik semasa.
Beliau berkata, kesediaan negara-negara itu untuk mendengar pandangan Malaysia merupakan satu penghormatan kepada negara.
“Sebagai sebuah negara yang relatifnya tidak besar, kesediaan mereka untuk mendengar pandangan Malaysia merupakan suatu penghormatan.
“Saya telah menyampaikan beberapa pandangan mewakili Malaysia sambil menegaskan kepentingan meredakan ketegangan demi keamanan sejagat,” katanya. – UTUSAN










