26,696 bergraduasi pada Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-101

26,696 bergraduasi pada Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-101

Konvokesyen UiTM
SEBAHAGIAN daripada 26,696 graduan menerima skrol peringkat sarjana dan doktor falsafah pada Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-101 dekat Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) di UiTM Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 26,696 graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) memperoleh skrol diploma dan ijazah masing-masing pada Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-101 yang bermula hari ini.

Naib Canselor UiTM, Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, para graduan dinasihatkan untuk mempersiap diri menghadapi cabaran dunia sebenar dengan meletakkan agama sebagai panduan.

“Di luar sana, medan sebenar perjuangan kalian sedang menanti. Kalian seharusnya menjadi insan yang berprinsip, berakhlak mulia dan kaya dengan nilai insan.

“Letakkan agama sebagai tiang seri, bangsa sebagai tanggungjawab dan tanah air sebagai kecintaan abadi. Jadilah obor yang menyala di tengah gelita, penyuluh kepada jalan yang kabur, tidak kira di mana jua kalian berada,” katanya ketika berucap pada sidang pembukaan istiadat tersebut, hari ini.

Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-101 menyaksikan graduan menerima skrol di peringkat diploma, ijazah, sarjana dan doktor falsafah dari kesemua 34 kampus di seluruh negara dalam 35 sidang sehingga 26 Mei dan turut akan berlangsung di Kampus Sabah serta Sarawak bermula 27 Mei dan 10 Jun.

Kata Shahrin, UiTM sebagai pusat ilmu pendidikan tinggi bagi Melayu dan Bumiputera komited untuk mempertingkatkan kualitinya secara berterusan seiring dengan peredaran zaman.

“Alhamdulillah di bawah Belanjawan 2025, UiTM menerima geran berjumlah RM20 juta bagi melahirkan lebih ramai jurutera elektrik dan elektronik bumiputera dalam bidang teknologi tinggi.

“Justeru, UiTM akan meningkatkan pengambilan mahasiswa dalam Fakulti Kejuruteraan Elektrik, sehingga 1,000 orang setiap tahun. Kami cuba melahirkan seramai mungkin graduan dalam sektor tersebut dan semikonduktor pada masa akan datang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN