TUMPAT: Lebih 10,000 pengguna Jalan Jubakar Pantai-Taman Sri Bayu di sini, menarik nafas lega apabila laluan yang runtuh akibat banjir pada hujung November lalu, sudah boleh digunakan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, laluan sepanjang 50 meter yang terputus dua akibat banjir sebelum ini sudah dibaik pulih dan boleh digunakan pelbagai jenis kenderaan.
Seorang penduduk, Pauzi Seman, 55, berkata, dengan siapnya laluan itu melancarkan lagi aliran trafik termasuk semasa perantau pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidiladha nanti.
“Melihat kerja-kerja pembinaan sedang dilaksanakan, kami berasa lega dan akhirnya siap dalam tempoh enam bulan. Penantian dan kesusahan kami sudah berakhir,” katanya ketika ditemui semalam.
Sementara itu, Asmah Ibrahim, 65, bersyukur apabila penduduk tidak perlu lagi perlu meredah perjalanan yang jauh untuk ke pekan Tumpat.
Katanya, sebelum ini penduduk mengambil inisiatif membina jambatan kayu bagi menghubungkan Taman Sri Bayu dan Jubakar Pantai yang hanya boleh dilalui oleh motosikal.-UTUSAN.