Warga emas dipercayai hilang di Jeram Besu - Utusan Malaysia

Warga emas dipercayai hilang di Jeram Besu

USAHA mencari dan menyelamat warga emas yang dilaporkan hilang di kawasan Pusat Rekreasi Jeram Besu masih giat dijalankan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Seorang warga emas dilaporkan hilang di kawasan Pusat Rekreasi Jeram Besu di sini sejak Selasa lalu dan sehingga kini belum ditemukan.

Mangsa, Mat Salleh Junoh, 63, yang beralamat di Perumahan Tat Sega, Raub, dilaporkan keluar dari rumah pada pukul. 7.20 pagi, 15 April lalu dan tidak pulang sehingga ke hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A. Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat kehilangan mangsa kira-kira pukul 8.04 pagi ini selepas dimaklumkan oleh keluarga.

Menurutnya, anak mangsa yang menyedari kehilangan bapanya bertindak mencari sebelum menemukan kereta jenis Toyota Avanza berwarna perak milik Mat Salleh di kawasan tempat letak kenderaan di pusat rekreasi tersebut.

“Semasa kejadian, mangsa keluar rumah tanpa membawa sebarang dokumen pengenalan diri. Kenderaan dijumpai dalam keadaan berkunci dan mangsa tidak berada di dalamnya.

“Anak mangsa kemudian bertindak melakukan pencarian di sekitar kawasan Jeram Besu, namun tidak menemui sebarang jejak atau petunjuk keberadaan bapanya,” katanya di sini hari ini.

Tambah Che Adam, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini digerakkan melibatkan tiga agensi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta APM dengan kekuatan 41 anggota dan dibantu 10 orang awam.

“Antara aset logistik digunakan termasuk bot, kenderaan pacuan empat roda dan van balai bergerak. Operasi SAR masih giat dijalankan di sekitar kawasan kejadian. Setakat ini, tiada sebarang petunjuk jelas ditemui dan usaha mencari diteruskan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN