Tubuh jawatankuasa khas tangani isu pencerobohan tanah secara haram - Tengku Zulpuri Shah - Utusan Malaysia

Tubuh jawatankuasa khas tangani isu pencerobohan tanah secara haram – Tengku Zulpuri Shah

TENGKU ZULPURI SHAH RAJA PUJI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri dicadang menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti isu pencerobohan tanah secara haram di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, isu tersebut memerlukan kajian mendalam dan pendekatan lebih adil serta bersifat menang-menang kepada semua pihak yang terlibat.

“Jawatankuasa ini boleh dianggotai oleh bekas pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG), pakar tanah dari institusi pengajian tinggi (IPT) atau Institut Tanah Negara, alim ulamak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), peguam dan lain-lain pihak yang berkaitan.

“Tempoh tiga bulan wajar diberikan kepada jawatankuasa ini untuk mengemukakan cadangan pelan tindakan kepada kerajaan negeri,” katanya ketika Perbahasan Usul Titah Diraja pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Menurut Tengku Zulpuri Shah, isu pencerobohan tanah tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana dikhuatiri membuka ruang kepada kegiatan kecurian hasil tanaman termasuk durian Musang King yang diusahakan secara haram di atas tanah tersebut.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar pendekatan lebih berhemah dipertimbangkan berbanding tindakan menebang atau memusnahkan kesemua pokok durian yang sudah matang.

“Daripada sudut kajian ilmiah dan biologi, pokok durian matang berukuran lilitan 30 inci mampu menyimpan air serta bertindak sebagai agen pemampan yang boleh mengurangkan risiko banjir, banjir kilat dan fenomena kepala air.

“Adalah mustahil untuk memusnahkan tanaman yang telah ditanam bertahun-tahun lamanya. Sebaliknya, adalah lebih baik ia dimanfaatkan melalui pendekatan bersesuaian,” katanya.

Beliau juga berkata, berbanding pokok kelapa sawit, pokok durian sebenarnya berfungsi lebih baik dalam mencegah hakisan tanah.

“Bayangkan kesannya jika pokok durian matang di kawasan seluas 80 hingga 200 hektar ditebang serentak. Ia sudah tentu memberi impak besar kepada ekosistem dan keseimbangan alam,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN