Empat finalis SSR 2026 sedia gegar Stadium Merdeka

Empat finalis SSR 2026 sedia gegar Stadium Merdeka

Kapten Victoria Institution (VI), Muhammad Muhaimin Zulkarnain (kiri), dan Kapten SMS Hulu Selangor (SEMASHUR), Muhammad Uwais Irwan, bergambar bersama Piala Cabaran Tan Sri Wan Aziz menjelang Grand Final Super Schools Rugby (SSR) Premier 2026 di Stadium Merdeka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Stadium Merdeka bakal menjadi saksi terciptanya sejarah baharu apabila empat pasukan terbaik musim ini bersedia mengharungi pertarungan terakhir dalam Super Schools Rugby (SSR) Grand Finals 2026.

Lebih menarik, dua perlawanan akhir yang bakal berlangsung menjanjikan naratif berbeza, namun sama hebat apabila melibatkan perebutan gelaran berprestij serta peluang mengukir nama dalam sejarah kejohanan.

Tumpuan utama pastinya terarah kepada aksi final SSR Premier yang menemukan dua kuasa besar ragbi sekolah-sekolah dalam negara iaitu Victoria Institution (VI) dan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) dalam ulangan final 2023.

Pertembungan itu bukan sekadar memburu Piala Cabaran Tan Sri Wan Aziz, malah lebih besar daripada itu apabila kedua-dua pasukan berpeluang muncul sebagai pasukan pertama menjulang tiga kejuaraan SSR sejak kejohanan diperkenalkan pada 2013.

Pengurus VI, Nik Mohd. Sidek berkata, beraksi di Stadium Merdeka memberikan suntikan motivasi tambahan buat pasukannya yang mahu mempertahankan tradisi cemerlang sekolah berkenaan.

“Bermain di Stadium Merdeka memberikan motivasi yang sangat besar kepada kami. Ia boleh dianggap sebagai ‘halaman sendiri’ buat Victoria Institution. Kami mahu menggunakan peluang ini untuk menunjukkan kepada semua apa sebenarnya identiti dan tradisi ragbi VI,” katanya.

Kapten VI, Muhammad Muhaimin Zulkarnain pula menegaskan disiplin dan semangat kesukanan menjadi tunjang kekuatan pasukan sepanjang musim ini.

“Disiplin sentiasa menjadi kekuatan kami sepanjang musim. Dalam masa yang sama, kami sentiasa menghormati lawan dan menjunjung semangat kesukanan. Nilai-nilai itu akan terus menjadi pegangan kami apabila turun beraksi di Grand Final,” ujarnya.

Sementara itu, bagi SEMASHUR, fokus pasukan kekal tertumpu kepada satu misi iaitu melengkapkan langkah terakhir menuju sejarah.

Ketua jurulatihnya, Mohd. Hafizul Saiful Anuar berkata, kejayaan mara ke final adalah hasil konsistensi pemain yang sentiasa fokus terhadap setiap perlawanan sepanjang musim.

“Sejak peringkat kumpulan lagi kami hanya fokus kepada satu perlawanan pada satu masa. Setiap minggu kami menyelesaikan tugasan yang berada di hadapan kami.

“Kini hanya tinggal satu lagi perlawanan dan fokus kami sepenuhnya ke arah itu. Komitmen pemain sepanjang musim ini memang luar biasa,” katanya.

Kapten SEMASHUR, Muhammad Uwais Irwan pula mengakui seluruh pasukan sedar peluang untuk mencipta sejarah baharu kini berada di depan mata.

“Matlamat kami jelas. Kami mahu menjadi pasukan pertama yang memenangi tiga kejuaraan Super Schools Rugby. Kami tahu cabarannya besar, tetapi kami sudah bekerja keras sepanjang musim dan kini hanya tinggal satu lagi langkah,” jelasnya.

Sementara itu, final Super Academy Rugby (SAR) turut menjanjikan aksi sengit apabila Akademi Ragbi Selangor (ARAS) dan SMK King Edward VII (KEVII) bakal berentap bagi menentukan juara baharu kejohanan.

Tidak seperti final SSR Premier yang melibatkan dua bekas juara, pertembungan ARAS dan KEVII membuka peluang kepada salah satu pasukan untuk menjulang gelaran pertama dalam sejarah SAR.

Ketua jurulatih KEVII, Mohd. Taufiq Abd. Rani berkata, kejayaan mara ke final adalah hasil usaha berterusan generasi pemain dan jurulatih terdahulu yang membina asas kukuh pasukan.

“Saya sangat berbangga dengan pemain-pemain kami. Apa yang kami capai hari ini bukan bermula daripada kami semata-mata, tetapi hasil usaha jurulatih-jurulatih terdahulu yang membina asas yang kukuh.

“Tanggungjawab kami sekarang ialah meneruskan legasi Edwardian Tigers dan memastikan kecemerlangan itu terus hidup,” katanya.

Kapten KEVII, Muhammad Aniq Aidil pula percaya disiplin tinggi menjadi faktor utama kejayaan mereka sepanjang musim.

“Kami berpegang kepada disiplin dalam setiap sesi latihan dan setiap perlawanan. Kami kekal konsisten sepanjang musim dan itulah yang membawa kami ke Grand Final. Kini kami hanya mahu menamatkan perjalanan ini dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Wakil-wakil penaja dan rakan strategik Super Schools Rugby 2026 bergambar bersama Pengarah Kejohanan, Shahrizin Shaharudin (tengah), selepas sesi SSR Grand Finals 2026 Media Scrum di
Stadium Merdeka. Sokongan berterusan daripada penaja dan rakan strategik terus memperkukuh pembangunan ragbi sekolah di Malaysia.

Dalam pada itu, ketua jurulatih ARAS, Mohd. Faiz Ali menyifatkan peluang beraksi di Stadium Merdeka sebagai detik istimewa yang akan dikenang pemain sepanjang hayat.

“Skuad ini mempunyai keinginan yang sangat besar untuk berjaya dan mereka membuktikannya sepanjang musim. Berpeluang bermain di Stadium Merdeka adalah sesuatu yang cukup istimewa, bukan sahaja kepada pasukan kami tetapi juga kepada pembangunan ragbi sekolah negara,” katanya.

Apa yang pasti, SSR Grand Finals 2026 bukan sekadar penentuan juara, sebaliknya medan untuk mencipta sejarah baharu.

Sama ada VI atau SEMASHUR yang bakal melakar hatrik kejuaraan, atau ARAS dan KEVII yang muncul juara baharu, Stadium Merdeka bakal menjadi saksi kepada satu lagi detik bersejarah dalam landskap ragbi sekolah di Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN