Kos bina semula sebuah rumah lulus sehingga RM300,000

Tragedi Putra Heights: Kos bina semula sebuah rumah lulus sehingga RM300,000

Putra Hights
NGA Kor Ming dan Amirudin Shari bersama jawatankuasa pengurusan bencana tragedi letupan paip gas Putra Heights ditemui pemberita pada sidang akhbar, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kos pembinaan dan baik pulih kediaman yang terjejas dalam tragedi letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya akan ditanggung oleh kerajaan sehingga RM300,000 bagi seunit rumah dengan jumlah peruntukan keseluruhan berjumlah RM40 juta.

Pembinaan tersebut bermula esok melibatkan keseluruhan 219 unit rumah terjejas yang dihadkan silingnya mengikut tiga kategori iaitu RM300,000 bagi rumah yang musnah, RM150,000 untuk kerosakan 40 peratus ke atas dan RM30,000 bagi kerosakan kecil.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, peruntukan tersebut di luluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dalam Mesyuarat Kabinet, hari ini.

Menurutnya, kerja-kerja baik pulih akan melibatkan tiga pihak iaitu Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Sime Darby Property Berhad sebagai pemaju asal di Taman Putra Harmoni.

“Kementerian bersama MBSJ turut memperuntukkan tambahan sebanyak RM6 juta bagi membaik pulih infrastruktur awam yang rosak. Justeru, keseluruhan peruntukan terlibat adalah sebanyak RM46 juta.

“Kerja baik pulih bermul esok, kontraktor dilantik akan masuk ke tapak untuk membantu proses pemulihan kediaman dalam radius 100 meter dari kawasan kejadian. Saya secara peribadi meminta kepada Sime Darby mempercepatkan (pembinaan),” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Tambah Kor Ming, jumlah peruntukan serta siling bagi pembaikan atau pembinaan semula rumah mangsa yang terjejas itu disifatkan sebagai penyelesaian paling komprehensif kerana melibatkan kerjasama rentas kementerian, agensi kerajaan dan swasta.

Terdahulu Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memberitahu, kerosakan lebih 40 peratus akan ditanggung kerajaan melalui Sime Darby bagi perumahan di Taman Harmoni dan SPNB bagi Kampung Kuala Sungai Baru.

Jelasnya, bagi kerosakan kecil pula, kerja pembaikan akan dilakukan sendiri oleh pemilik rumah dengan had siling sebanyak RM30,000 dan mangsa boleh membuat tuntutan semula secara mingguan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui ketua kampung atau jawatankuasa persatuan penduduk.

Selain itu, Amirudin turut memaklumkan kerajaan negeri bersetuju untuk menyalurkan bantuan kesihatan kepada penduduk yang terkesan termasuk menampung sebahagian kos mangsa yang rawatan di hospital awam atau swasta.

“Exco Kesihatan, Jamaliah Jamaludin akan meneliti perkara tersebut untuk mendapatkan maklumat daripada jabatan (kesihatan) sama ada (mangsa) yang dirawat di hospital awam atau swasta.

“Tetapi, bantuan yang diberikan itu tidaklah sepenuhnya, mungkin sebahagian untuk mengurangkan kos (beban) kepada rawatan kesihatan lain,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN