BEIJING: Tiga angkasawan China daripada misi Shenzhou-19 selamat kembali ke Bumi hari ini selepas enam bulan berada di stesen angkasa Tiangong, sekali gus menandakan satu lagi kejayaan besar dalam usaha negara itu mencapai cita-cita menjadi kuasa angkasa utama dunia.
Menurut rakaman disiarkan media rasmi negara itu, kapsul yang membawa ketiga-tiga angkasawan terbabit mendarat di kawasan padang pasir di Inner Mongolia, utara China, dengan keadaan mereka dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan stabil.
Angkasawan yang terlibat dalam misi Shenzhou-19 ialah Komander Cai Xuzhe, 48, bekas juruterbang tentera udara; Song Lingdong, 34, juga bekas juruterbang tentera; dan Wang Haoze, 35, yang merupakan satu-satunya jurutera penerbangan angkasa wanita China ketika dilancarkan.
Sepanjang berada di orbit sejak Oktober lalu, mereka menjalankan pelbagai eksperimen dan berjaya mencipta rekod baharu bagi aktiviti berjalan di angkasa paling lama yang pernah dilakukan oleh angkasawan China.
Bagaimanapun, kepulangan mereka yang dijadualkan pada Selasa terpaksa ditangguhkan sehari ekoran keadaan cuaca buruk di lokasi pendaratan, menurut pihak berkuasa.
Sementara itu, kumpulan angkasawan baharu bagi misi Shenzhou-20 dilancarkan minggu lalu dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di wilayah Gansu, barat laut China.
China yang kini menjadi negara ketiga berjaya menghantar manusia ke orbit, juga mendaratkan robot di Marikh dan Bulan, dalam usaha mengejar dua kuasa angkasa utama, iaitu Amerika Syarikat (AS) dan Rusia.
Sebagai perbandingan, Amerika Syarikat merancang untuk kembali ke Bulan menjelang 2027, namun rancangan tersebut pernah menghadapi ketidakpastian ketika era pentadbiran Presiden Donald Trump.- AFP










