Tidak sampai satu pertiga wilayah Gaza selamat didiami - PBB

Tidak sampai satu pertiga wilayah Gaza selamat didiami – PBB

RAKYAT Palestin mengangkut barangan mereka untuk melarikan diri dari kawasan kejiranan ke timur Bandar Gaza, berikutan arahan pemindahan Israel pada Jumaat lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran arahan pemindahan terbaharu Israel menyebabkan zon selamat untuk rakyat Palestin di Gaza semakin mengecil, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan di wilayah itu.

Jurucakap PBB, Stephanie Dujarric berkata, Israel mengeluarkan dua arahan pemindahan baharu kelmarin, meliputi kawasan yang luas di utara dan selatan Gaza.

“Beberapa kemudahan perubatan dan tapak simpanan bekalan penting terletak dalam zon pemindahan baharu yang ditetapkan,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.

Merujuk Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Dujarric memberi amaran mengenai kesan mengancam nyawa terhadap pesakit yang memerlukan rawatan segera akibat arahan pemindahan baharu itu.

“OCHA melaporkan lebih dua pertiga wilayah Gaza kini berada di bawah arahan pemindahan aktif atau ditetapkan sebagai zon larangan masuk.

“Ini menyebabkan rakyat Palestin hanya mempunyai kurang daripada satu pertiga kawasan Gaza untuk didiami, dan ruang yang tinggal pula berpecah-pecah,” katanya.

Dujarric turut melaporkan kini sudah 40 hari sejak Israel mengenakan sekatan penuh terhadap kemasukan bantuan ke Gaza.

“Hari ini (Jumaat), enam daripada 10 cubaan (kemasukan bantuan) disekat sepenuhnya dan sejak penutupan dikenakan oleh Israel, tiada siapa termasuk rakan kemanusiaan dibenarkan membawa masuk bekalan walaupun barangan penting.

“Kini, segalanya berada pada tahap yang sangat kritikal. Kilang roti ditutup, ubat-ubatan juga kehabisan dan pengeluaran air merosot dengan drastik,” katanya.

Di Tebing Barat, Dujarric melaporkan pasukan Israel membunuh sembilan rakyat Palestin, termasuk dua kanak-kanak, dan mencederakan lebih 130 yang lain dalam minggu pertama bulan ini.

“OCHA mendokumenkan perobohan lebih 100 struktur di seluruh Tebing Barat kerana tiada permit bangunan dikeluarkan oleh Israel.

“Tindakan itu menyebabkan lebih 120 rakyat Palestin, kebanyakannya kanak-kanak, kehilangan tempat tinggal dan lebih 200 orang lagi turut terjejas,” katanya.- ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN