TEL AVIV: Ketegangan dalaman tentera Israel semakin memuncak selepas hampir 1,000 veteran Tentera Udara Israel menandatangani surat terbuka minggu lalu, menuntut kerajaan menamatkan perang di Gaza.
Perkembangan itu sekali gus mendorong tentera bertindak tegas dan memberi amaran untuk memecat mana-mana anggota simpanan aktif yang menandatangani surat tersebut.
Namun, sejak kenyataan itu dikeluarkan, ribuan lagi bekas tentera dan anggota simpanan dari pelbagai cabang Angkatan Pertahanan Israel (IDF) menandatangani surat sama, menyuarakan sokongan terhadap gesaan supaya konflik dihentikan.
Kempen yang semakin meluas itu turut mendakwa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu meneruskan peperangan demi kepentingan politik dan gagal membawa pulang baki tebusan yang masih ditahan.
Ia mencerminkan perpecahan serius dalam masyarakat Israel, termasuk pasukan keselamatan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemampuan tentera meneruskan operasi pada tahap maksimum.
Perpecahan seumpamanya turut berlaku pada awal 2023, susulan cubaan kerajaan merombak sistem kehakiman negara yang mencetuskan gelombang protes besar-besaran, yang menurut sesetengah pihak melemahkan kestabilan negara sehingga membuka ruang kepada serangan Hamas pada penghujung tahun sama.
“Sudah terang lagi bersuluh, perang ini disambung semula atas motif politik dan bukan atas dasar keselamatan,” tegas Guy Poran, bekas juruterbang tentera udara yang menjadi antara pencetus utama surat terbuka itu.
Tindakan Netanyahu pada 18 Mac lalu untuk meneruskan serangan di Gaza walaupun wujud gencatan senjata yang membolehkan pembebasan beberapa tebusan mendorong surat bantahan tersebut.
Bahkan, puluhan ribu golongan profesional termasuk ahli akademik, doktor, bekas duta, pelajar dan pekerja sektor teknologi tinggi turut menyertai kempen solidariti yang menyeru penamatan segera perang, yang kini mengorbankan ribuan nyawa di Gaza.– AP











