ISLAMABAD: Tentera Pakistan dan India berbalas tembakan sepanjang malam merentasi Garisan Kawalan di Kashmir, menurut pegawai hari ini.
Pertempuran berlaku selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa kedua-dua negara bersenjata nuklear itu agar menunjukkan tahap kawalan maksimum, susulan insiden serangan maut di rantau tersebut.
Hubungan antara kedua-dua negara kembali tegang selepas India menuduh Pakistan menyokong keganasan rentas sempadan, ekoran serangan dianggap paling buruk terhadap orang awam di Kashmir, baru-baru ini.
Pegawai kerajaan Kashmir yang ditadbir Pakistan, Syed Ashfaq Gilani memberitahu AFP, kejadian tembakan antara pasukan tentera berlaku di sepanjang Garisan Kawalan, yang memisahkan kedua-dua negara pada malam Khamis hingga awal pagi Jumaat.
“Tiada tembakan terhadap penduduk awam,” katanya.
Tentera India mengesahkan berlaku tembakan kecil yang didakwa mereka dimulakan oleh Pakistan.
Terdahulu, jurucakap PBB, Stephane Dujarric menegaskan isu antara negara seharusnya diselesaikan secara aman melalui penglibatan bersama.
“Kami sangat merayu kepada kedua-dua kerajaan untuk melaksanakan sekatan maksimum dan memastikan keadaan tidak bertambah buruk berikutan perkembangan yang berlaku,” katanya.
Kenyataan itu dibuat di tengah ketegangan selepas insiden tembakan maut yang membunuh 26 nyawa, menyebabkan nasihat perjalanan kecemasan dikeluarkan oleh beberapa negara termasuk Britain.
Perdana Menteri India, Narendra Modi berikrar untuk memburu lelaki bersenjata yang bertanggungjawab dalam serangan di Pahalgam, selepas polis mengenal pasti tiga suspek sebagai warga Pakistan.
Sementara itu, Pakistan menafikan sebarang penglibatan dalam serangan di Pahalgam dan menyifatkan usaha mengaitkannya dengan kejadian itu sebagai tidak berasas.
Perdana Menterinya, Shehbaz Sharif turut memberi amaran Islamabad tidak akan berdiam diri sekiranya India mengambil sebarang tindakan.- AFP










