PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini semalam diberitahu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi arahan kepada Penolong Bendahari Armada Bersatu, Rafiq Hakim Razali supaya ‘clearkan’ (mengeluarkan) wang RM1 juta bagi mengelak wang itu disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, Ahli Parlimen Muar itu selaku perayu didakwa bersubahat dengan cara mengarahkan Rafiq yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta.
Menurutnya, ada keterangan menunjukkan perayu mengarahkan Rafiq yang juga saksi pendakwaan ke-13 (SP13) mengeluarkan wang RM1 juta itu pada 6 Mac 2020.
“Perayu mengarahkan SP13 untuk ‘clearkan’ wang itu dan ada keterangan menunjukkan dia menyuruh bekas Exco Armada Bersatu, Abdul Hannaan Khairy, 32, dan seorang lagi saksi, meletakkan tarikh kebelakang di resit dan sebut harga pada 2 Jun 2020.
“Menerusi perbualan telefon, perayu juga meminta SP13 untuk ‘clearkan’ wang yang disimpan dalam akaun bank parti itu, kerana khuatir wang itu akan disita oleh SPRM.
“Ketika disoal balas, SP13 turut memberitahu mahkamah, maksud ‘clearkan’ ialah tidak menyimpan wang di rumah,” katanya ketika pemeriksaan utama, SP13 memberitahu perayu menyuruh wang itu dikeluarkan dari akaun Armada kerana perayu memaklumkan, wang itu adalah hasil titik peluhnya sendiri.
Sementara itu, seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan ketika berhujah mengatakan pembelaan Syed Saddiq berhubung pembayaran balik bagi kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah afterthought (perkara difikirkan kemudian).
Ini kerana perayu tidak pernah memaklumkan kepada SP13 bahawa wang ini adalah sebagai reimbursement (pembayaran balik) kepada perbelanjaan kempen berkenaan.
Dalam pada itu, mahkamah menangguhkan keputusan terhadap Syed Saddiq berhubung sabitan dan hukuman empat pertuduhan berkaitan dana Armada.
Prosiding rayuan Syed Saddiq di Mahkamah Rayuan berakhir semalam selepas mahkamah selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak.
Keputusan rayuan Syed Saddiq, 33, sama ada beliau berjaya mengetepikan sabitan dan hukuman atau kekal bersalah akan ditentukan oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Syed Saddiq diwakili peguamnya, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik. Syed Saddiq boleh berdepan hukuman penjara di antara enam bulan hingga 15 tahun, sebatan dan denda terhadap keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.-UTUSAN.