Satu PPS lebih kapasiti, dua hampir penuh

Satu PPS lebih kapasiti, dua hampir penuh

PPS penuh
PENDUDUK Taman Sri Muda yang terjejas akibat banjir meninggalkan kediaman masing-masing untuk berpindah ke PPS apabila rumah mereka dinaiki air susulan hujan lebat dekat Seksyen 25, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menempatkan mangsa lebih kapasiti sementara dua lagi hampir penuh apabila penduduk di kawasan sekitar Taman Sri Muda dan Kampung Padang Jawa ditempatkan di sana akibat banjir sejak pagi tadi.

PPS berkenaan ialah Dewan Kenanga, Seksyen 28 yang mencapai kapasiti 145 peratus apabila menempatkan 506 terdiri daripada 146 keluarga.

Di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 16 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 16 pula masing-masing mencapai kapasiti 74 dan 84 peratus dengan menempatkan 111 dan 84 mangsa banjir.

Berdasarkan maklumat daripada Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tiga lagi PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, Meru dan Dewan Bakawali, Seksyen 36 menempatkan mangsa banjir kurang daripada 50 peratus kapasiti iaitu 215 dan 53 mangsa.

Secara keseluruhan, sebanyak 295 keluarga dan kira-kira 900 mangsa masih di tempatkan di PPS sejak petang tadi, namun seramai 1,176 daripada 339 keluarga dilaporkan terkesan dengan kejadian banjir susulan hujan lebat lebih lima jam pada awal pagi tadi.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan, pemantauan Skuad Pantasnya pada petang tadi, mendapati banjir di Taman Sri Muda masih belum surut sepenuhnya.

Pengarah Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awamnya, Mohd. Azhar Mohd. Sharif berkata, laporan Skuad Pantas MBSA bermula dengan operasi pada pukul 3.38 pagi tadi 26 kawasan dikenal pasti dinaiki air di seluruh kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Lain-lain kawasan termasuk Kampung Padang Jawa surut sepenuhnya. Pemantauan berterusan akan terus dijalankan di kawasan Seksyen 25 yang masih belum surut sepenuhnya oleh Skuad Pantas MBSA,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelasnya, seramai 410 mangsa masih berada di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat pukul 4.30 petang tadi.

Jelasnya lagi, 506 mangsa banjir ditempatkan di Dewan Kenanga Seksyen 28, 53 orang di Dewan Bakawali, Seksyen 36 dan 30 di Dewan Azalea Seksyen 25.

“Seramai 122 anggota Skuad Pantas dan Penguatkuasa MBSA menjalankan operasi membantu mangsa banjir hari ini. Bantuan dan pemantauan berterusan akan diteruskan hingga bencana banjir ini selesai sepenuhnya,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pengurusan Bencana Selangor, Mohd. Najwan Halimi memaklumkan, trend paras air di keseluruhan kawasan terjejas menunjukkan penurunan.

Katanya, bagaimanapun ia bergantung kepada cuaca cerah pada malam ini dan esok pagi bagi memastikan banjir benar-benar surut.

“Kalau air pasang tetapi malam ini tidak hujan, insya-Allah baik. Tetapi kalau hujan dalam keadaan air laut pasang, itu kita jangka berisiko untuk banjir lagi. Sekarang air sudah surut, doakan malam ini hujan tidak berterusan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya