GAZA: Ratusan ribu penduduk Gaza meninggalkan kediaman dalam satu pemindahan terbesar sejak konflik tercetus, apabila tentera Israel memperluaskan operasi ke bandar Rafah di selatan Gaza, kawasan yang diisytiharkan sebagai ‘zon keselamatan’ baharu oleh Tel Aviv.
Serangan berlaku hanya sehari selepas tentera Israel mengumumkan rancangan untuk menawan sebahagian besar wilayah padat penduduk tersebut.
Rafah yang sebelum ini menjadi lokasi perlindungan terakhir buat rakyat Gaza, kini bertukar menjadi medan serangan dan kemusnahan.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 97 penduduk terbunuh dalam tempoh 24 jam akibat serangan udara Israel, termasuk 20 yang terkorban dalam satu serangan menjelang subuh di Shejaia, pinggir bandar tersebut.
Pada sebelah petang, serangan udara Israel meragut nyawa 27 lagi penduduk termasuk wanita dan kanak-kanak, apabila tiga peluru berpandu mengenai sebuah bangunan sekolah di Tuffah, Gaza yang dijadikan tempat perlindungan sementara buat keluarga pelarian.
Serangan ke atas Rafah disifatkan sebagai peningkatan ketara dalam konflik yang meletus semula sejak Israel menarik diri daripada perjanjian gencatan senjata, bulan lalu.
Ramai penduduk yang sebelum ini kembali ke kawasan kediaman masing-masing semasa tempoh gencatan senjata, kini diarah meninggalkan rumah mereka sekali lagi sama ada di utara mahupun selatan Gaza.
Sejak tamat fasa pertama gencatan senjata pada awal Mac tanpa sebarang lanjutan, Israel mengenakan sekatan penuh terhadap kemasukan barang keperluan kepada 2.3 juta penduduk Gaza, situasi yang digambarkan badan antarabangsa sebagai bencana kemanusiaan.
Perang tercetus sejak serangan mengejut oleh pejuang Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 lalu, yang mengakibatkan lebih 250 tebusan ditawan, menurut rekod negara tersebut.
Setakat ini, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan angka korban melebihi 50,000 nyawa akibat kempen ketenteraan Israel.– AGENSI










