GUA MUSANG: Pertambahan jumlah majoriti yang diterima calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, Sabtu lalu menunjukkan sokongan pengundi kepada parti itu.
Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu menyaksikan hanya satu sahaja Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang gagal dirampas oleh mereka.
“Ada beberapa penganalisis mengatakan calon BN tidak dapat sokongan, namun sebaliknya yang berlaku.
“Saya berterima kasih kepada semua jentera yang telah memberikan khidmat terbaik sepanjang tempoh berkempen,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dan Majlis Raya Aidilfitri Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) di Dataran Awam Kampung Jerek, di sini, hari ini.
Ahamd Zahid memberitaghu, selain kerja keras calon yang dikemukakan BN menjadikan pengundi kembali kepada BN.
Katanya, pendekatan atau strategi yang digunakan parti itu dalam mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning turut menjadi penyumbang kepada kejayaan tersebut.
Pada PRK Ayer Kuning, BN mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning selepas calonnya, Dr. Mohamad Yusri Bakir, 54, menang denghan majoriti 5,006 undi.
Pada PRK itu Mohamad Yusri memperoleh 11,065 undi keseluruhan menerusi saingan tiga penjuru, menewaskan wakil Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek dan Bawani KS daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).-UTUSAN