PASIR MAS: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas daging babi dan lembu seludup dari Thailand dalam dua serbuan berasingan di sini dan Rantau Panjang semalam.
Rampasan bernilai RM61,460 itu dilakukan oleh PGA menerusi rondaan rutin penugasan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, semasa melakukan rondaan rutin di pangkalan haram Tebu, Lubong Gong, Rantau Panjang anggota bertugas ternampak sebuah kotak polistirena dekat tebing Sungai Golok pada pukul 12.15 tengah malam.
“Hasil pemeriksaan telah menjumpai
74 bungkus daging babi yang bernilai
RM2,960. Kita tidak menolak kemungkinan daging itu disyaki untuk dijual ke pasaran tempatan.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, serbuan kedua pada pukul 1.30 pagi itu pihaknya menahan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan Pusu 40 dekat sini.
Katanya, pemeriksaan telah menjumpai enam ekor lembu di dalam lori berkenaan.
“Selain itu, kita turut menahan pemandu dan kelindan masing-masing 23 dan 29 tahun yang
dipercayai menjadi penghantar lembu tersebut ke kandang lembu sekitar daerah ini.
“Anggaran rampasan dianggarkan berjumlah RM 58,500 dan kes Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953,” ujarnya.
Nik Ros Azhan berkata, PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara.-UTUSAN










