KANGAR: Melihat kesungguhan dan pengorbanan ibu dan bapanya sebagai pendidik, mendorong Wan Naufal Rifqy Wan Shuhaimi,17, menanam cita-cita mengikut jejak langkah insan kesayangannya untuk menjadi seorang guru.
Kini, Wan Naufal selangkah untuk menyambung pengajian dalam bidang perguruan selepas memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam sekali gus ingin merealisasikan harapan sejak kecil itu.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma itu berkata, minat menjadi seorang guru itu timbul selepas melihat kerjaya ibu dan bapanya sebagai pendidik yang sentiasa mengutamakan anak murid mereka.
Katanya, sejak daripada itu, dia menanam tekad untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai keputusan cemerlang di dalam SPM.
“Saya selalu belajar pada sebelah malam atau awal lagi selain sentiasa mengulang kaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan besar itu. Ibu juga sentiasa mendorong saya bergelar seorang guru untuk berbakti kepada masyarakat. Insya-Allah saya akan menyambung pengajian dalam bidang perguruan selepas ini.
“Saya juga berterima kasih kepada guru-guru yang banyak membantu sehingga mendapat keputusan cemerlang dalam SPM ini,” kata anak sulung daripada dua beradik itu kepada Utusan Malaysia semalam.
Kata Wan Naufal, bapanya, Wan Shuhaimi Wan Ali, 46, mengajar dalam subjek Kimia dan Sains manakala ibu, Noritahazlina Manja Radzi, 46, pula mengajar dalam subjek Bahasa Melayu.-UTUSAN.