Pegang nasihat ayah, Hazem mahu rampas kerusi Sg. Manila

Pegang nasihat ayah, Hazem mahu rampas kerusi Sg. Manila

HAZEM MUBARAK MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Nasihat bapa menjadi amanah utama yang digalas Hazem Mubarak Musa sekiranya berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Sungai Manila pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.

Beliau berkata, antara pesa­nan Tun Musa Aman adalah supaya beliau sentiasa bekerja keras dan membela nasib rak­yat.

“Biarpun ayah saya tidak lagi aktif dalam politik, beliau berpesan bahawa apabila ingin masuk arena politik, saya mesti turun padang, bekerja kuat dan mendengar keluhan rakyat,” katanya yang akan mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau yang merupakan anak kepada Yang Dipertua Sabah, Tun Musa Aman itu berkata, beliau sudah lama berkecimpung secara aktif dalam politik meskipun menjadi calon muka baharu bagi PRN kali ini.

“Saya aktif dalam politik sudah lama tetapi apabila dilantik sebagai Ketua Bahagian Sungai Manila tiga tahun yang lalu, dari situlah saya mula turun padang.

“Kami telah melakukan yang terbaik sepanjang tiga tahun ini, mendengar masalah rakyat dan memastikan suara mereka didengar,” katanya.

Tambah Hazem, latar bela­kang keluarganya dalam politik juga tidak pernah dijadikan kelebihan, sebaliknya me­letakkan kepentingan kepada komitmen bekerja untuk rak­yat dan membawa perubahan di kawasan itu.

Katanya, keyakinan juga di­letakkan kepada diri sendiri terutama dalam misi membawa kemenangan untuk partinya sekali gus merampas kerusi DUN kawasan pada PRN kali ini.

Beliau turut menyatakan so­kongan kepada beberapa ahli keluarganya yang turut bertan­ding pada PRN17 Sabah itu, antaranya Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) dan calon GRS kerusi DUN Bongawan, Tan Sri Anifah Aman; calon PH kerusi DUN Sindumin, Datuk Yamani Hafez Musa; calon GRS kerusi DUN Liawan, Datuk Annuar Ayub; serta calon STAR kerusi DUN Bingkor, Datuk Mohd Ishak Ayub. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN