BONUS RM500 kepada penjawat awam Terengganu, perkongsian keuntungan 15,000 hektar tanah diusahakan Felda, dan peningkatan jumlah pinjaman kenderaan bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menjadi tumpuan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (Bajet) yang berlangsung empat hari bermula Isnin lalu. Semua isu ini berkaitan duit.
Persidangan menyaksikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu sebulat suara meluluskan Belanjawan Terengganu 2026 yang dibentang Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Belanjawan bertemakan Memacu Potensi Melonjak Prestasi memperuntukkan RM1.938 bilion Perbelanjaan Mengurus dan RM450 juta untuk Perbelanjaan Pembangunan, dengan hasil dianggarkan RM1.998 bilion. Persidangan berjalan ‘harmoni’ tanpa perdebatan panas kerana tiada pembangkang di DUN.
Semasa pembentangan belanjawan Isnin lalu, Ahmad Samsuri tidak menyebut peruntukan atau bonus untuk penjawat awam, menyebabkan ramai beranggapan tiada dalam bajet.
Isu bonus hanya disentuh pada hari terakhir persidangan semasa ucapan penggulungan, tanpa perincian bila dan bagaimana ia diberi.
Beliau menjelaskan langkah itu berprinsip bagi mengelak persepsi bajet dijadikan medan bermegah atau mencari pujian. Tujuh bulan lalu, Kerajaan Persekutuan membiayai bantuan khas Aidilfitri RM500 kepada lebih 14,000 penjawat awam Terengganu.
Selain itu, isu perkongsian keuntungan tanah kerajaan negeri selepas lebih 40 tahun didakwa tiada bayaran daripada Felda turut dibincangkan.
Pengerusi Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Dr. Azman Ibrahim, menyatakan kronologi dan pandangan kerajaan negeri. Tanah melibatkan 10 ladang Felda di Setiu, Marang, Dungun dan Kemaman yang sepatutnya menempatkan peneroka atau memberi pulangan hasil kepada kerajaan negeri, namun syarat itu tidak dipenuhi.
Kerajaan negeri menawarkan 30% keuntungan kasar sejak April 2024, namun Felda didakwa belum mengemukakan angka cadangan. Jika gagal, Notis 425 dikeluarkan sebagai langkah pencerobohan sebelum penyitaan dengan tarikh akhir penyelesaian isu ialah 29 November.
Di luar Dewan, isu pinjaman kenderaan ADUN meningkat kepada maksimum RM200,000 menjadi perhatian. Kertas DUN bertarikh 29 Oktober 2025 memaklumkan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan pinjaman itu kepada Menteri Besar, Yang Dipertua DUN, Ahli MMKN dan ADUN untuk tempoh empat tahun, membatalkan keputusan terdahulu pada 1990 dan 1997.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Datuk Hanafiah Mat, memaklumkan syor berkenaan belum muktamad dan keputusan hanya dibuat selepas enakmen dibentang dan diluluskan di DUN.
Skim pinjaman kenderaan ADUN telah wujud sejak 1981, dikemas kini 1990 dan 1997. Sebelum ini, pinjaman sekitar RM41,000-RM43,000. Memandangkan kos kenderaan meningkat, cadangan menaikkan jumlah pinjaman kepada RM200,000 sedang diteliti.
Pembangkang mendesak kerajaan negeri menilai semula isu itu untuk kepentingan rakyat, menekankan keutamaan rakyat berbanding keselesaan kepemimpinan. Kerajaan negeri disaran memberi penerangan jelas agar rakyat dapat menilai keperluan peningkatan pinjaman itu. – UTUSAN










