PBB dakwa Asia Tenggara gagal tangani penipuan siber

PBB dakwa Asia Tenggara gagal tangani penipuan siber

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa serbuan di Asia Tenggara gagal membendung sindiket penipuan siber.

Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) berkata, sindiket jenayah Asia melibatkan industri penipuan siber bernilai berbilion dolar semakin berkembang ke peringkat, termasuk ke Amerika Selatan dan Afrika.

Katanya, rangkaian jenayah tersebut muncul dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan membina penempatan luas yang menempatkan puluhan ribu pekerja.

Ramai daripadanya menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan dipaksa menipu mangsa di seluruh dunia dan kini berkembang menjadi industri global yang besar.

Meskipun kerajaan Asia Tenggara meningkatkan tindakan penguatkuasaan, sindiket terlibat terus bergerak pantas sama ada di dalam mahupun luar rantau itu.

“Kesan limpahan yang berkemungkinan tidak dapat dipulihkan berlaku… membolehkan kumpulan jenayah bebas memilih, bergerak dan menyesuaikan diri mengikut keperluan,” kata UNODC.

Pemangku Wakil Wilayah UNODC bagi Asia Tenggara dan Pasifik, Benedikt Hofmann berkata, jenayah itu merebak seperti barah.

“Pihak berkuasa menanganinya di satu kawasan, tetapi akarnya tidak pernah hilang, ia hanya berpindah ke tempat lain,” katanya.

Secara konservatif, UNODC menganggarkan terdapat ratusan pusat penipuan berskala besar di seluruh dunia yang menjana keuntungan tahunan berjumlah puluhan bilion dolar.

Justeru, agensi itu menyeru negara untuk bekerjasama dan menggandakan usaha bagi membanteras sumber kewangan kumpulan penjenayah berkenaan.

“Industri penipuan siber serantau…mengatasi jenayah rentas sempadan lain kerana ia mudah diperluaskan dan mampu mencapai berjuta-juta mangsa dalam talian tanpa perlu memindahkan atau menyeludup barangan haram merentasi sempadan,” kata penganalisis wilayah UNODC, John Wojcik.

Amerika Syarikat (AS) melaporkan kerugian melebihi AS$5.6 bilion (RM24.5 bilion) akibat penipuan mata wang kripto pada 2023.

Ini termasuk lebih AS$4 juta (RM17 juta) menerusi penipuan dikenali sebagai ‘pig-butchering’ atau penipuan cinta yang menyasarkan golongan warga emas dan mudah terpedaya.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN