Pak Lah meninggal dunia

Pak Lah meninggal dunia

ALLAHYARHAM TUN ABDULLAH AHMAD BADAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mening­gal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur malam tadi akibat masalah pernafasan.

Menurut menantunya yang juga bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 7.10 malam tadi pada usia 86 tahun.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan me­nem­patkan roh Allah­yarham dalam ka­­la­ngan orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fa­­ti­hah,” kata­nya dalam sa­tu kenya­taan di ins­tagram.

Abdullah yang mesra dikenali sebagai “Pak Lah”, dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Allahyarham merupakan Perdana Menteri Kelima dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009, menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang melepaskan jawatan tersebut selepas 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

Abdullah juga merupakan individu bertanggungjawab yang memperkenalkan konsep Islam Hadhari dan menekankan pembangunan modal insan serta integriti dalam pentadbiran.

Allahyarham disahkan menghidap demensia pada 2022.

Sebelum menjadi Perdana Menteri, Abdullah pernah memegang pelbagai portfolio termasuk Menteri Pelajaran, Menteri Luar, Menteri Pertahanan, Menteri Belia dan Sukan serta menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Abdullah mendirikan rumah tangga dengan, Tun Endon Mahmood pada 1965 dan dikurniakan dua cahaya mata, Datuk Kamaluddin dan Nori.

Pada 20 Oktober 2005, Endon meninggal dunia akibat kanser payudara. Abdullah, kemudian berkahwin dengan Tun Jeanne Abdullah pada 9 Jun 2007.

Sementara itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Allahyarham merupakan seorang insan berjiwa besar yang menerapkan naratif baru dalam politik kekuasaan di Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, melalui pendekatan Islam Hadhari, beliau menghubungkan antara aspek kemajuan dan pembangunan dengan nilai-nilai Islam.

“Di bawah kepemimpinannya, kita telah menyaksikan reformasi di bidang kehakiman, ke­telusan dalam pentadbiran, dan pemerkasaan institusi.

“Beliau adalah sosok yang memerdekakan suara rakyat melalui pembukaan ruang media dan penyertaan awam. Pentadbiran beliau berpaksi pada Ranca­ngan Malaysia Kesembilan yang memacu pertumbuhan ekonomi serta memfokuskan pembangunan insan dan di pedesaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Anwar lagi, Pak Lah juga mengajar erti kemanusiaan dalam kepemimpinan.

“Beliau memimpin dengan wajah yang tidak marah, tangan yang tidak menggenggam kuasa, dan suara yang tidak meninggi meski diasak bertubi-tubi.

“Saya masih ingat sewaktu saya sendiri bergelut dalam episod hidup yang gelap dan derita, beliau tidak pernah menambah luka dengan kata-kata nista. Itulah peribadi Pak Lah yang sentiasa memilih damai meski mudah untuk membalas,” jelasnya.

Anwar dalam masa yang sama turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Jeanne, Khairy dan keluarga.

“Saya ucapkan takziah setulusnya daripada lubuk hati. Seluruh negara turut bersedih atas kehilangan seorang negarawan yang membumi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×