Mangsa gempa Myanmar diancam risiko wabak penyakit

Mangsa gempa Myanmar diancam risiko wabak penyakit

ORANG ramai beratur untuk mendapatkan bantuan makanan yang diagih di Sagaing kelmarin, berikutan gempa bumi dahsyat melanda Myanmar pada 28 Mac lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Cuaca panas melampau dan hujan lebat di Myanmar berisiko menyebabkan wabak penyakit dalam kalangan mangsa gempa bumi yang terpaksa berkhemah di tempat terbuka.

Badan bantuan global memberi amaran keadaan itu semakin merumitkan usaha menyelamat yang sudah pun sukar akibat perang saudara, ketika angka korban kini melebihi 3,100.

Gempa bumi berukuran 7.7 skala Richter pada 28 Mac lalu, antara terkuat di Myanmar dalam satu abad, menggegarkan kawasan dihuni 28 juta penduduk, meruntuhkan bangunan seperti hospital dan menyebabkan ramai kehilangan tempat tinggal.

Angka kematian meningkat kepada 3,145 orang setakat kelmarin, dengan 4,715 lagi cedera dan 341 masih dilaporkan hilang, menurut junta pemerintah.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran mengenai peningkatan risiko wabak taun dan penyakit lain di kawasan paling terjejas seperti Mandalay, Sagaing dan ibu negara, Naypyidaw.

Agensi itu turut menyediakan bantuan sebanyak AS$1 juta (RM4.43 juta), termasuk beg mayat.

“Taun kekal sebagai kebimbangan utama bagi kami semua,” kata Timbalan Ketua Pejabat WHO di Myanmar, Elena Vuolo, merujuk kepada wabak yang berlaku di Mandalay pada 2024.

Beliau berkata, risiko itu bertambah buruk berikutan kerosakan terhadap kira-kira separuh kemudahan kesihatan di kawasan terjejas, termasuk hospital yang musnah akibat gempa di Mandalay dan Naypyidaw.

Orang ramai terpaksa berkhemah di luar rumah dalam suhu mencecah 38 darjah Celsius kerana takut untuk pulang ke kediaman masing-masing, bahkan banyak hospital turut mendirikan kemudahan sementara di kawasan terbuka, kata Vuolo.

Katanya, penyakit kulit, malaria dan denggi antara risiko yang boleh timbul akibat krisis berpanjangan seperti berlaku di Myanmar.

Namun, keadaan dijangka lebih mencabar bagi usaha bantuan berskala besar selepas pegawai kaji cuaca memberi amaran hujan luar musim dari 6 hingga 11 April, boleh mengancam kawasan paling teruk terjejas gempa bumi.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN