Malaysia akan lakukan apasahaja bagi lindungi ekonomi - PM

Malaysia akan lakukan apa sahaja bagi lindungi ekonomi – PM

ANWAR Ibrahim (lima dari kiri) bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (empat dari kiri) bergambar selepas perasmian Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia akan melakukan apa sahaja tindakan untuk melindungi kepentingan ekonomi negara susulan tarif timbal balik besar-besaran terhadap lebih 180 negara dengan kadar antara 10 hingga 50 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) pada 2 April lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehubungan itu, negara akan menghantar wakil rasmi ke AS untuk membincangkan tarif 24% dikenakan ke atas import dari Malaysia.

Beliau berkata perdagangan Malaysia dengan negara itu selama ini telah menjadi contoh kerjasama yang saling menguntungkan dan memanfaatkan kedua-duanya, dengan eksport Malaysia menyokong pertumbuhan negara dan menyediakan pekerjaan berkualiti tinggi.

“Kami tidak percaya kepada diplomasi megafon. Sebagai sebahagian daripada pendekatan ‘soft diplomacy’ melalui pembabitan secara senyap, kami akan menghantar pegawai kami ke Washington untuk memulakan proses dialog.

“Mungkin terdapat ruang yang terhad untuk mengkaji semula niat asas, tetapi masih ada ruang untuk menyesuaikan pelaksanaan dasar tersebut,” katanya dalam Ucaptama pada Persidangan Pelaburan ASEAN (AIC) 2025 semalam.

Pada 2 April, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan beberapa tarif baharu yang secara langsung menaikkan duti import ke atas beberapa rakan dagang Washington di Asia Tenggara.

Negara paling terkesan ialah Kemboja dengan tarif asas sebanyak 49%, diikuti oleh Laos (48%), Vietnam (46%) dan Myanmar (44%).

Thailand dikenakan tarif sebanyak 36%, Indonesia 32%, Brunei dan Malaysia masing-masing 24%, Filipina 17%, dan Singapura 10%.

Selain itu, Anwar berkata, negara ASEAN menonjol sebagai mercu harapan dan unsur positif selain masih komited secara menyeluruh terhadap keterbukaan, kerjasama dan kesinambungan institusi.

Jelasnya, jumlah dagangan barangan Malaysia kini berjumlah AS$3.5 trilion (RM16.6 trilion) namun bukan angka yang dapat memberi jaminan pada masa hadapan.

“Dengan gelombang tarif yang melanda dunia secara pantas dan agresif, kita sedang menyaksikan keretakan dalam sistem global. Oleh itu, ASEAN mesti lebih bergantung kepada dirinya sendiri.

“Ini bermakna kita perlu memperkukuh perdagangan intra-ASEAN. Kita mesti melangkaui retorik kepada pelaksanaan sebenar.

“Liberalisasi tarif dalam rantau ini sebahagian besarnya telah selesai, tetapi penyelarasan peraturan, logistik rentas sempadan, dan kesalinghubungan digital masih belum diselesaikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN