TEL AVIV: Mahkamah Agung Israel menolak petisyen yang dikemukakan oleh keluarga tebusan, meminta kerajaan untuk menyambung semula bekalan elektrik ke Gaza, selepas dihentikan bulan lalu susulan keputusan kerajaan.
Hakim Alex Stein menolak petisyen itu dengan alasan perkara tersebut sepenuhnya berada di bawah bidang kuasa kepemimpinan politik dan tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.
“Israel tidak mempunyai kewajiban untuk membekalkan elektrik kepada Gaza,” katanya dalam penghakiman.
Timbalan Presiden Mahkamah Agung, Hakim Noam Sohlberg turut menyuarakan keraguan mengenai petisyen itu dan memberi amaran tindakan mempertimbangkannya berisiko untuk dicabar secara perundangan.
Sementara itu, Menteri Tenaga Israel, Eli Cohen, berpuas hati terhadap keputusan mahkamah menolak petisyen tersebut.
“Keputusan yang diketuai saya untuk memutuskan bekalan elektrik di Gaza adalah tepat dari sudut keselamatan dan moral.
“Saya gembira petisyen untuk memaksa saya menyambung semula bekalan elektrik ditolak tanpa pertimbangan lanjut,” kata Cohen dalam hantaran di platform X.
Beliau turut menegaskan, tekanan berterusan terhadap Hamas akan membawa kepada pembebasan tebusan Israel dan memastikan kumpulan pejuang tidak lagi wujud di Gaza.
9 Mac lalu, Israel memutuskan bekalan elektrik terakhir ke Gaza selepas mendakwa berlaku pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tebusan, sebelum meneruskan semua serangan ketenteraan di wilayah itu.– ANADOLU










