BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengecam Presiden Emmanuel Macron berhubung rancangan Perancis untuk mengiktiraf negara Palestin.
Netanyahu dalam kenyataan berkata, Macron melakukan kesilapan besar kerana terus mempromosikan idea penubuhan negara Palestin di tengah tanah Israel, sebuah negara yang aspirasinya adalah untuk memusnahkan Israel.
Beliau membalas kenyataan Macron awal minggu ini, yang menyatakan Perancis mungkin mengiktiraf negara Palestin dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Sehingga hari ini, tiada seorang pun dalam Hamas atau Pihak Berkuasa Palestin yang mengutuk kekejaman pembunuhan beramai-ramai terburuk terhadap orang Yahudi sejak Holocaust,” kata Netanyahu, merujuk kepada serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
“Kami tidak akan membahayakan kewujudan kami demi ilusi yang terpisah dari realiti, dan kami tidak akan menerima nasihat moral tentang penubuhan negara Palestin yang akan mengancam kelangsungan hidup Israel terutamanya bukan dari mereka yang menentang kemerdekaan Corsica, New Caledonia, French Guiana, dan wilayah lain yang kemerdekaannya tidak akan mengancam Perancis sama sekali,” tambahnya.
Kenyataan Netanyahu selari dengan kenyataan anaknya, Yair Netanyahu, yang lebih awal menyerang Macron dalam satu hantaran di X.
“Screw you!” tulis Yair Netanyahu dalam bahasa Inggeris petang Sabtu.
Macron dalam temu bual dengan France 5 pada Rabu, menyatakan Perancis mungkin mengambil langkah itu semasa persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Jun, dengan harapan ia akan mencetuskan pengiktirafan timbal balik Israel oleh negara-negara Arab.
Kenyataannya mencetuskan gelombang kritikan daripada kumpulan sayap kanan di Perancis, selepas itu Macron menjelaskan kenyataan awalnya pada Jumaat.
“Saya menyokong hak sah rakyat Palestin untuk sebuah negara dan keamanan, sama seperti saya menyokong hak rakyat Israel untuk hidup dalam keamanan dan keselamatan, kedua-duanya diiktiraf oleh jiran mereka,” tulisnya di X.
Hubungan antara Israel dan Perancis merosot dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Perancis sudah lama menyokong penyelesaian dua negara untuk konflik Israel-Palestin, termasuk selepas serangan kumpulan pejuang Palestin, Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Tetapi pengiktirafan rasmi Paris terhadap negara Palestin akan menandakan perubahan dasar utama dan berisiko menimbulkan kemarahan Israel, yang menegaskan langkah sedemikian oleh negara asing masih pramatang.
Perancis akan menjadi kuasa Eropah paling penting yang mengiktiraf negara Palestin, satu langkah yang juga lama dihalang oleh Amerika Syarikat (AS). Hamas menyambut baik kenyataan Macron.
Hampir 150 negara mengiktiraf negara Palestin.
Mei tahun lalu, Ireland, Norway dan Spain mengumumkan pengiktirafan, diikuti Slovenia pada Jun, sebahagiannya didorong oleh kutukan terhadap pengeboman Israel ke atas Gaza.– AFP










