SHAH ALAM: Penghuni 270 buah rumah tragedi letupan gas di Putra Heights dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, mulai malam tadi.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kebenaran tersebut diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor semalam selepas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan kesemua rumah itu selamat.
“Maklumat yang diperoleh daripada mesyuarat itu mengesahkan 270 buah rumah selamat apabila pembaikan kecil dibuat teerhadpa strukturnya. Kesemua rumah itu boleh disalurkan kembali bekalan elektrik, air dengan keadaan minimum ia boleh diduduki,” katanya dalam sidang akhbar, semalam.
Tambahnya, kerajaan negeri akan menetapkan satu sumbangan standard yang diberikan kepada 270 penghuni ini yang akan diuruskan Jawatankuasa Pemulihan yang diketuai oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Johary Anuar.
“Kesemua 270 pemilik ada membuat permohonan untuk melakukan sendiri baik pulih rumah mereka dengan segera dan kita benarkan mereka buat pembaikan ini.
“Kita akan lihat jumlah dan nilai kerosakan, kalau tidak begitu besar, akan diganti oleh sumbangan itu selepas Jawatankuasa Pemulihan membuat keputusan,” jelasnya.
Sementara itu, Amirudin memaklumkan sebanyak 81 rumah yang rosak sepenuhnya sedang dibuat penilaian oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi melihat jika ia boleh dibaiki lagi.gi.
Katanya, beliau akan berjumpa dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Isnin hadapan bagi membincangkan berkenaan baik pulih kediaman yang rosak sepenuhnya serta yang memerlukan sokongan.
“Justeru, PPS (Pusat Pemindahan Sementara) ditutup secara berperingkat mulai semalam, PPS Dewan Camelia ditutup secara rasmi mulai pukul 10 malam tadi. Mangsa di PPS tersebut dibenarkan pulang ke rumah sendiri atau Airbnb ditawarkan sebelum ini,” ujarnya. – UTUSAN